Manfaat klinik kesihatan baharu

0

Oleh Siti Aisyah Ramli

 

PROMOSI: Hasidah (tiga kiri) menerima cenderamata daripada Dr Jamilah (empat kanan) pada perasmian Karnival Kesihatan dan Hari Bersama Pelanggan KKPJ di Petra Jaya, semalam.

KUCHING: Penduduk Petra Jaya khususnya disaran untuk memanfaatkan kemudahan kesihatan yang disediakan oleh Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ) di sini dengan sebaiknya.

Justeru, satu aktiviti promosi KKPJ iaitu Karnival Kesihatan dan Hari Bersama Pelanggan KKPJ diadakan bagi menarik kehadiran lebih ramai masyarakat setempat yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai KKPJ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, adalah menjadi tanggungjawab kakitangan kesihatan untuk memperkasakan kesedaran serta kepentingan menjaga kesihatan dalam kalangan masyarakat setempat.

Selain aspek kehidupan paling penting, gaya hidup sihat yang dipromosi juga dipercayai dapat membantu menangani masalah kesihatan kritikal yang sering dilaporkan, ujarnya.

“Pihak hospital atau klinik kesihatan memainkan peranan penting untuk memperkenal serta mempromosikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan di pusat perubatan mereka.

“Justeru, menerusi aktiviti promosi seumpama ini, ia diyakini dapat melahirkan masyarakat bertanggungjawab serta berupaya memupuk amalan cara hidup sihat dengan melibatkan diri dalam aktiviti anjuran klinik sekali gus mengenali kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Kesihatan dan Hari Bersama Pelanggan KKPJ di KKPJ Jalan Siol Kanan di sini, semalam.

Hasidah berkata, karnival kesihatan itu juga dapat melahirkan masyarakat yang celik kesihatan dengan memiliki ilmu pengetahuan serta kemahiran untuk melaksanakan amalan kesihatan yang disarankan.

“Apabila mereka mengamalkannya, mereka boleh membantu dalam penjagaan kesihatan diri dengan lebih baik,” jelasnya.

Program itu menyaksikan pelbagai kaunter pertanyaan serta kaunter pemeriksaan kesihatan dibuka kepada pelanggan.

Antaranya saringan kesihatan, pameran kesihatan serta agensi lain, pertandingan mewarna, ceramah kesihatan pergigian, saringan pemeriksaan ‘pap smear’ serta saringan pemeriksaan payu dara.

KKPJ merupakan klinik kesihatan Jenis Dua yang pertama di Sarawak di bawah pentadbiran Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Mula dibina pada 2011, KKPJ sudah beroperasi sepenuhnya bermula 31 Mac lalu.

Pembinaan KKPJ bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan kepada 20,000 penduduk di Petra Jaya termasuk khidmat pakar perubatan keluarga, pakar pergigian, psikiatri dan pakar kanak-kanak.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Jamilah Hashim, Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Kamarudin Lajim serta Pakar Perubatan Keluarga Dr Juslina Omar.