Terjunan cemas

0

Oleh Reno Benjamin//

SELAMAT: Leigh berjaya menyelamatkan diri selepas mendarat di beranda Tingkat 16 Wisma Sanyan. Kelihatan juga payung terjun yang digunakannya tersangkut di dinding bangunan.

Peserta BASE Jump Sibu nyaris maut payung terjun gagal terbuka, mendarat di beranda Tingkat 16 Wisma Sanyan

SIBU: Seorang peserta acara BASE Jump Sibu 2014 nyaris maut selepas payung terjun yang digunakannya gagal terbuka dengan sempurna ketika beliau melakukan terjunan pada kirakira jam 10.30 pagi semalam.

Penerjun dari Australia yang dikenali sebagai Leigh Aldred itu bagaimanapun terselamat apabila beliau berjaya mendarat di bahagian beranda di Tingkat 16, Wisma Sanyan. Leigh yang ditemui pemberita selepas kejadian itu melahirkan rasa syukur kerana terselamat selepas payung terjun yang digunakannya tidak berfungsi dengan baik.

“Saya berasa amat bertuah kerana dapat selamat. Semuanya berlaku dengan amat pantas,” ujarnya kepada pemberita selepas berjaya dibawa turun dari Wisma Sanyan dengan bantuan pihak bomba dan penyelamat serta anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Menurut Leigh, beliau tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku, namun akan meneliti rakaman kamera yang dipasang di atas topi keledarnya untuk mencari punca insiden itu.

Beliau juga belum memutuskan sama ada hendak terus melakukan terjunan atau berhenti berikutan kejadian itu.

TELITI: Leigh meneliti rakaman kamera yang dipasang di topi keledar yang dipakainya ketika kejadian.

Menurut sumber, payung terjun yang digunakan oleh Leigh gagal terbuka sepenuhnya menyebabkan beliau berpusing-pusing di udara.

“Melihat payung terjun itu gagal berfungsi dengan baik, kami menyangka sesuatu yang buruk akan berlaku. Namun, kita bersyukur beliau berjaya menyelamatkan diri,” ujarnya.

Akibat insiden itu, Leigh menga-lami sedikit kecederaan di bahagian kepala dan leher, selain di bahagian kaki akibat melakukan pendaratan di beranda tersebut.

Payung terjun yang digunakan oleh Leigh juga dikatakan tersang-kut pada dinding Wisma Sanyan yang dipercayai telah membantu menyelamatkan nyawanya.

Sementara itu, menurut Ekseku-tif Lembaga Pelancongan Sarawak Cawangan Sibu, Rudy Anoi, insiden seperti itu sememangnya tidak da-pat dielakkan dalam sukan ekstrem seperti BASE Jump.

“Kejadian seperti ini sukar die-lakkan dalam acara BASE Jump di mana sahaja ia diadakan,” jelasnya kepada pemberita.

Rudy bagaimanapun bersyukur kerana Leigh selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Dalam acara BASE Jump 2013, seorang penerjun berusia 63 ta-hun, Yves Escudier, dari Perancis mengalami kecederaan di kepala serta luka-luka setelah payung terjun yang digunakannya gagal terbuka sepenuhnya.

Kejadian pada kira-kira jam 8 malam itu dikatakan berpunca daripada angin kencang yang tiba-tiba bertiup dan menyebab-kan payung terjun yang digu-nakan oleh Yves gagal berfungsi dengan baik.

Ia menyebabkan Yves merem-puh dinding bangunan sebelum terjatuh ke atas pokok serta bum-bung tempat letak kenderaan di hadapan Wisma Sanyan.

CEMAS: Orang ramai menyaksikan kejadian itu di Dataran Bandar Sibu Fasa I.