‘Walk a Mile’ 28 September pupuk kesedaran kesihatan jantung

0

SERTAI KAMI: (Dari kiri) Tony, Dr Ong, Dr Sim, Anne dan Pauline bergambar bersama kain rentang ‘Walk a Mile’ sempena dengan Hari Jantung Sedunia 28 September ini.

KUCHING: Yayasan Jantung Sarawak (SHF) dengan kerjasama Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) Kota Samarahan akan mengadakan ‘Walk a Mile’ sempena dengan Hari Jantung Sedunia (WHD) mulai jam 6 pagi, 28 September ini.

Program tahun ini yang bertemakan ‘Persekitaran Kesihatan – Jantung’ bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai akan pentingnya menjaga kesihatan jantung.

“Terdapat pertambahan antara 10 dan 15 peratus setiap tahun bagi pesakit jantung di seluruh negeri.

“Dan 70 peratus daripada pesakit di pusat berkenaan merupakan pesakit lelaki,” kata Konsultan Kanan Kardiologi Pusat Jantung HUS Kota Samarahan, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian pada sidang media di sini kelmarin.

Dr Sim berkata, masyarakat hari ini juga ramai yang menuding jari dan menuduh individu sakit disebabkan merokok, minum, makan dan tidak bersenam.

Sedangkan, jelas beliau, sebenarnya mereka terperangkap dalam persekitaran yang berisiko menyebabkan mereka mengalami penyakit kardiovaskular (CVD).

Justeru, katanya, program anjuran Persekutuan Jantung Sedunia di Geneva itu akan diadakan di Kuching Park Lane, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Setiap peserta akan dikenakan bayaran penyertaan RM10 dan diberikan baju-T selain ujian saringan kesihatan dan sarapan Nestle Omega.

Kaunter pendaftaran akan dibuka seawal jam 5.30 pagi dan senaman fizikal kanak-kanak dan zumba juga akan diadakan bagi memeriahkan majlis.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi talian 082-258212 atau 082-233784.

Hadir sama Konsultan Kanan Kardiologi dan Ketua Jabatan Kardiologi Pusat Jantung HUS Kota Samarahan Dr Ong Tiong Kiam, Bendahari SHF Datuk Anne Teng, Pemegang Lembaga Amanah SHF Pauline Kon dan wakil Nestle Production Sdn Bhd Wilayah Sarawak Tony Merril.