Larian Tabung Amal Ke-11 berjaya kumpul RM111,000

0

MIRI: Lebih banyak  organisasi kebajikan seperti golongan miskin dan memerlukan di sini akan mendapat manfaat melalui aktiviti Larian Tabung Amal Ke-11 anjuran Hotel Dynasty pada tahun ini.

Larian terbabit yang berlangsung semalam berjaya mengumpulkan sejumlah RM111,000.

Jumlah terbabit turut merangkumi sumbangan daripada Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau yang masing-masing memperuntukkan RM10,000 dan Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin memperuntukkan RM5,000.

Lee dalam ucapan perasmiannya memuji usaha yang dilakukan oleh pihak hotel berkenaan dalam menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib.

“Bahkan, kerajaan amat mengalu-alukan penglibatan dan sumbangan daripada masyarakat setempat khususnya sektor swasta dan individu membantu dalam bentuk kewangan atau bantuan lain kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Di samping itu, Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin turut menggesa lebih ramai pihak swasta serta individu tampil bersama kerajaan membantu golongan memerlukan.

Larian amal yang bermula pada 2003 itu telah membantu pelbagai organisasi di sini seperti Pusat Dialisis Miri, menyampaikan sumbangan pada hari perayaan serta golongan miskin di sini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Hotel Dyanasty Tony Pui dan Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting.

Sementara itu, larian berkenaan dibahagikan kepada enam kategori iaitu lelaki terbuka, wanita terbuka, lelaki remaja, wanita remaja, lelaki veteran dan keluarga.

Bagi kategori lelaki dan wanita terbuka, juara dimenangi oleh Mastani Mohd Yussop dan Ling Mee Eng yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM600, trofi berserta sijil penyertaan.

Kategori lelaki dan wanita remaja pula dimenangi oleh Lim Wei Kuong dan Lai Siau Ling yang masing-masing membawa pulang RM400, trofi berserta sijil penyertaan.

Manakala kategori lelaki veteran diraih oleh Lee Kim Hing dengan menerima wang tunai RM400, trofi berserta sijil penyertaan.

Bagi kategori keluarga pula dimenangi oleh pasangan Choo Ngiik Hung dan Christin Tan dengan membawa pulang RM400, trofi berserta sijil penyertaan.