Pelajari teknik tanam ubi secara moden

0

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

Kajian tanam ubi secara moden telah dijalankan, dijangka tambah pendapatan petani

BEKENU: Penduduk Be-kenu disaran mengambil peluang supaya memahami dan mempelajari teknik penanaman ubi kayu secara moden untuk meningkatkan produktiviti tanaman masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus berkata, kajian mengenai penanaman ubi secara moden telah dijalankan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dijangka menambah pendapatan petani.

“Kita berharap penduduk kampung di sini mengambil kesempatan dan peluang ini supaya mempelajari teknik penanaman ubi kayu agar mampu menjana pendapatan masing-masing,” katanya pada Majlis Penutupan Bakti Siswa UPM di Kampung Pejuang Kelulit semalam.

Rosey memberitahu, kebanyakan penduduk kampung terbabit begitu sinonim dengan kegiatan pertanian malah pendapatan harian turut dijana melalui aktiviti berkenaan.

“Saya percaya kajian UPM ini mampu meningkatkan lagi pendapatan petani dengan pengeluaran ubi kayu dalam kuantiti banyak seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk,” jelasnya.

Rosey yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelaskan,  penduduk kampung juga mampu mencipta dan mengeluarkan pelbagai jenis produk makanan lain berasaskan ubi kayu.

Mengulas mengenai program berkenaan, Rosey berkata ia adalah program kerjasama UPM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selama tiga hari.

Beliau memberitahu, program itu mampu mendekatkan mahasiswa UPM dengan penduduk kampung bahkan mereka (pelajar) dapat mempelajari kehidupan penduduk secara dekat

“Pengalaman paling mahal dalam program ini ialah pelajar dapat mendalami erti kehidupan susah dan senang bersama keluarga angkat dan ia tidak terdapat dalam sistem pembelajaran sedia ada,” katanya.

Turut hadir Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan UPM Profesor Madya Dr Abdul Rashid Jamain, Dekan UPM Profesor Dr Japar Sidik Bujang, Ketua Seksyen Kepenggunaan KPDNKK Lina Encharang dan Pegawai Daerah Kecil Sibuti Ali Abdullah.