Pemimpin, rakyat bersama majukan S’wak

0

Oleh Mahathir Haroun //

Kemajuan dicapai didorong perpaduan antara pemimpin negeri, kerja keras rakyat

KUCHING: Kemajuan yang dicapai Sarawak setakat ini banyak didorong perpaduan kukuh antara pemimpin negeri dan kerja keras rakyat negeri ini, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata keadaan itu menjadikan Sarawak berada pada landasan tepat ke arah mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Malah menurutnya, lebih setengah daripada rakyat negeri ini kini hidup di luar kepompong kemiskinan.

“Kejayaan Sarawak bukan hanya atas usaha saya sendiri ketika menjadi Ketua Menteri tetapi doa rakyat dan keikhlasan kepimpinan negeri yang lain bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Menjunjung Kasih di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelmarin.

Sehubungan itu Taib tidak mahu rakyat membandingkan beliau dengan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Saya yakin Adenan dan pasukannya akan membawa Sarawak ke arah negeri berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Adenan menyifatkan Taib sebagai pemimpin yang hebat kerana telah berkhidmat bersama semua Perdana Menteri.

“Beliau (Taib) merupakan inspirasi dan Sarawak amat bertuah mendapat khidmatnya,” jelasnya.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pula berkata, era kepimpinan Taib sebagai Ketua Menteri amat penting dengan pengenalan kepada politik pembangunan.

“Di bawah kepimpinannya (Taib) Sarawak berubah daripada negeri pertanian kepada perindustrian,” kata Abang Johari.

Pada majlis itu Taib turut melancarkan buku bertajuk ‘The Visionary Builder of Modern Sarawak’ yang menceritakan perjalanan Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan tetamu kehormat lain.