Pengotor, perosak

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

 

Sampah bersepah, kemudahan dirosakkan di Tapak Pertemuan Le’Park, Dewan Suarah Kuching.

KUCHING: Sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah secara sesuka hati memberi gambaran tidak baik terhadap warga bandar raya ini.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak Datuk Patrick Liew berkata, masyarakat hendaklah memupuk rasa kecintaan terhadap bandar raya ini selain mempunyai sikap tanggungjawab bagi memastikan kebersihannya.

“Saya melihat masih ramai warga kota yang masih tidak mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap sampah mereka sendiri dan membuangnya di merata tempat.

“Ia bukan sahaja akan menyusahkan orang lain, bahkan turut memberi tanggapan buruk terhadap penduduk bandar raya ini di kalangan orang luar yang berkunjung ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sampah yang bertaburan di Tapak Pertemuan Le’Park, Dewan Suarah Kuching di sini, semalam.

Jelas Patrick, gelanggang tenis di Le’Park bukan sahaja digunakan oleh orang awam malah juga oleh orang luar seperti warga asing yang menyertai pertandingan tenis di situ.

“Gelanggang sukan seperti tenis dan street soccer di sini digunakan oleh semua lapisan masyarakat dan sekiranya ia tidak dijaga dengan baik, ia akan memberi tanggapan ‘Kuching bandar kotor’ oleh masyarakat luar,” jelasnya.

Selain melahirkan perasaan kesal dengan kejadian tersebut, Patrick berkata kerajaan juga harus lebih sensitif dengan isu itu dan menggandakan usaha dalam menganjurkan kempen kesedaran berkaitan kebersihan.

Selain isu kebersihan, beberapa kemudahan lain yang disediakan di Le’Park seperti tempat duduk berbumbung juga telah dirosakkan.

“Bukan hanya di Le’Park, di mana-mana sahaja tempat program pasti akan menghadapi masalah yang sama di mana sampah bersepah dan kemudahan dirosakkan golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Justeru, kerajaan atau pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang tidak berdisiplin agar masalah ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun jelas Patrick, pihaknya sudah memohon peruntukkan daripada Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) bagi tujuan penyelenggaraan.