Perkampungan Matematik bantu calon hadapi SPM

0

SRI AMAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu telah menggadakan  Perkampungan Matematik untuk semua bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dewan sekolah di sini kelmarin.

Ketua Panitia Matematik Dayangku Rosslini berkata, seramai 171 calon peperiksaan tahun ini mengikuti perkampungan berkenaan.

Menurutnya, tujuan utama perkampungan itu diadakan ialah sebagai alternatif membantu pelajar menguasai mata pelajaran Matematik sebelum  SPM berlangsung.

“Program ini menghendaki pelajar berpecah kepada 40 kumpulan, melantik pelajar cemerlang dalam subjek itu membimbing kumpulan masing-masing,” ujarnya ketika ditemui selepas berakhirnya program itu kelmarin.

Tambahnya lagi, guru Matematik membantu menjayakan program itu sekali gus memberi motivasi kepada calon SPM.

Katanya, program itu banyak menggunakan pendekatan perkongsian kemahiran menyelesai masalah Matematik secara ‘Peer Learning’ atau ‘Peer Learning Students-Interaction-Students’ (PLSIS) sama seperti pendekatan program  ‘Students- Teachers’.