Persatuan Nelayan Samariang Batu berhasrat tubuh PNK sendiri

0

KUCHING: Persatuan Nelayan Samariang Batu berhasrat menubuhkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) sendiri bagi membolehkan lebih banyak pembangunan  dapat dinikmati ahli-ahlinya.

Pengerusinya Hasbi Lihi berkata sejak lima tahun ditubuhkan pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan telah dinikmati ahlinya dalam usaha meningkatkan pendapatan para nelayan di kawasan itu.

Katanya jika dahulu kerjaya sebagai nelayan merupakan pekerjaan yang paling tidak diminati oleh masyarakat terutama generasi muda namun kini nelayan mulai dianggap sebagai minda kelas pertama.

“Meskipun kami masih lagi menumpang dengan PNK Satang Biru namun banyak pembangunan yang telah dinikmati para nelayan kami, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

“Sejak 2009 hingga kini, sebanyak 116 lesen khas telah diluluskan manakala 34 rumah nelayan di Samariang Batu telah dibaiki bagi fasa pertama tahun ini.

“Jika kami mempunyai PNK sendiri saya pasti lebih banyak pembangunan akan dapat dinikmati para nelayan di sini termasuk penduduk secara keseluruhannya,” ujar Hasbi.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pertandingan Memancing serta Perasmian Peralatan Nelayan dan Kelulusan Khas Lesen Nelayan di Kampung Samariang Batu di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Sulit Menteri Kerja Raya Morshidi Sait yang mewakili Datuk Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya.

Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mohd Saedon Abdul Majid, Timbalan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Latifah Teh serta lain-lain.

Program tersebut adalah anjuran bersama Persatuan Nelayan Kawasan P.194 Petra Jaya dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon 5.

Bertujuan mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat dan penduduk kampung, program itu turut diharap dapat menarik minat masyarakat terutama generasi muda dalam bidang perikanan.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu, antaranya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan menganyam ketupat, batu serembam, boling kelapa, menimang raga serta yang utama Pertandingan Memancing Terbuka Sungai Samariang.