Program Jalan Amal Bersama Happy dapat sambutan

0

KUCHING: Program Jalan Amal Bersama Happy 2014 pasti menjadi kenangan indah bagi lebih 1,000 peserta yang menyertainya, semalam.

Selain dianjurkan oleh syarikat pembekal beras, Lian Hua Seng Sdn Bhd, program tersebut juga mendapat kerjasama penuh daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Pengurus Jualan dan Pemasaran Kumpulan Lian Hua Seng Alex Lee Choon Foh berkata, program Jalan Amal Bersama Happy 2014 menjadi aktiviti tahunan syarikat berkenaan bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan meraih dana serta sumbangan menerusi yuran pendaftaran yang akan diserahkan kepada Persatuan Pesakit Kritikal Kanak-Kanak (SOS).

“Kami mengadakan program seumpama ini bertujuan memberi kesedaran kepada warga kota mengenai pesakit kritikal kanak-kanak.

“Pada masa sama, ia juga menjadi acara tahunan syarikat kami sebagai memenuhi CSR syarikat yang berhasrat mahu membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap sebelum peserta dilepaskan untuk berjalan kaki.

Aktiviti sepanjang lima kilometer itu bermula dari Tapak Pertemuan Le’Park melalui beberapa jalan utama ke bandar raya seperti Jalan Badaruddin, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Green, Jalan Batu Lintang, Jalan Bampfylde, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui sebelum tamat di Le’Park.

Sementara itu, Presiden SOS Richard Lee berkata, setakat ini pihaknya memberi sokongan penjagaan rapi kesihatan kepada 70 pesakit kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan kurang daripada 12 tahun.

“Kami (SOS) menyambut baik aktiviti amal seumpama ini yang bertujuan meraih dana untuk kegunaan pesakit di bawah pemantauan SOS.

“Kebanyakan pesakit yang kami bantu adalah pesakit yang baharu keluar daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) tetapi masih memerlukan bantuan mesin rawatan yang dilakukan di rumah,” katanya.

SOS amat mengalukan sumbangan daripada orang ramai kerana mereka amat memerlukannya bagi membeli vaksin (ubatan), nutrisi (bantuan makanan), penapis mesin rawatan, aksesori mesin rawatan serta penyelenggaraan mesin rawatan.

Semalam, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai melepaskan peserta Program Jalan Amal Bersama Happy 2014.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan Lawn Tennis Sarawak Datuk Patrick Liew, Pengerusi Kumpulan Lian Hua Seng Chew Chee Heng serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lian Hua Seng Chew Chiaw Han.