Program pemeriksaan kesihatan PERKESO kurang sambutan, kata Riot

0

KUCHING: Program pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kurang mendapat sambutan daripada pencarumnya.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem mendedahkan, sehingga kini kurang 20 peratus tampil menggunakan baucar pemeriksaan kesihatan percuma yang diberikan kepada pencarum yang layak.

“Oleh itu, kami amat berharap kesemua pencarum yang layak dan melepasi syarat ditetapkan tampil menyertai program ini kerana sudah menjadi impian kita  mempunyai sumber tenaga kerja yang sihat dalam mencapai matlamat Wawasan 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan dua mesin hemodialisis PERKESO kepada Pusat Hemodialisis Persatuan Buah Pinggang Sarawak (KAS)-ROTARY-Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Cawangan Kuching di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini kelmarin.

Riot memberitahu, program itu diperkenalkan bagi memastikan pencarum PERKESO kekal dalam keadaan sihat, namun sambutan yang kurang memberangsangkan itu amat menyedihkan pihaknya.

“Kita tidak tahu mengapa ini terjadi tetapi apa yang kami fikirkan bahawa kesedaran untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan masih lagi rendah,” tambahnya.

Beliau menegaskan, PERKESO sentiasa menitikberatkan tentang kesihatan pencarumnya dalam memastikan sumber tenaga manusia tidak terjejas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Riot berkata PERKESO telah membayar kesemua waris MH17 yang merupakan pencarum kepada PERKESO.

“Kesemua anak kapal dan lima penumpang merupakan pencarum PERKESO.

“Bagi perbelanjaan pengebumian mereka dan pencen ilat, dianggarkan sebanyak RM2,655 sebulan telah dibayar kepada waris terdekat mangsa,” jelasnya.

Bagaimanapun penumpang lain yang tidak mencarum dengan PEREKSO, mereka tidak menerima apa-apa pampasan daripada PERKESO.

“Bukan menjadi masalah berapa lama mereka telah mencarum untuk memperolehi pampasan penuh seperti kes Meling Mula dari Bintulu, mendiang hanya mencarum dengan PERKESO selama enam bulan selepas menyertai syarikat baharu namun balu mendiang masih layak menerima pampasan ini bagi pihak suaminya,” ujarnya.