Semua jawatan tertinggi SWBEU menang tanpa bertanding

0

SIBU: Semua jawatan tertinggi dalam Kesatuan Sekerja Pekerja Lembaga Air Sibu (SWBEU) dimenangi tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Dwitahunan Ke-28 di sebuah hotel terkemuka di sini malam Jumaat lepas.

Mohd Zainorin Arsad kekal sebagai presiden bagi sesi 2014/2016 kesatuan sekerja berkenaan dan jawatan naib presiden masih dipegang Muhd Haziq Abdullah, setiausaha disandang Mormen Asam,  Hardy Geoffrey Grugu (penolong setiausaha),  Hazlinda Halim (bendahari) dan Monica Medan Nyareng (penolong bendahari).

Lima ahli jawatankuasa yang mengekalkan jawatan masing-masing ialah Azrillizam Udin, Ariffinsanny Yahya, Lam Kuok Kiong, Abang Nurfirdauz Abang Taha dan Sharifah Sabtuiah Wan Bujang.

Mesyuarat itu turut mempertimbang permohonan kenaikan elaun kakitangan awam seperti elaun imbuhan tetap perumahan, imbuhan tetap khidmat awam, bayaran insentif wilayah dan bantuan insentif tugas kewangan.

SWBEU mencadangkan supaya elaun imbuhan tetap perumahan dinaik daripada kadar semasa RM180 sebulan kepada RM400 sebulan bagi Gred 1 – 40.

Manakala imbuhan tetap khidmat awam daripada RM95.00 hingga RM220 sebulan sekarang kepada RM150 hingga RM280 dan bayaran insentif wilayah daripada 12.5 peratus  hingga 25 peratus sekarang kepada 18.5 peratus hingga 30 peratus.

Selain itu, SWBEU juga memohon agar diberi kenaikan khas satu tangga gaji kepada semua kakitangan awam tahun depan seiring dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada April 2015 pada kadar enam peratus.

Pada mesyuarat itu, SWBEU dalam usulnya memohon kepada kerajaan supaya mewujudkan program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan projek perumahan itu diharap dibina di bandar Sibu sebagai projek perintis.

SWBEU memohon PPA1M tersebut memandangkan permintaan perumahan tinggi untuk penjawat awam dan anggaran kos dan jenis rumah yang dicadangkan untuk dibina di sini adalah rumah teres satu tingkat berharga antara RM90,000 hingga RM120,000 dan rumah teres dua tingkat berharga antara RM150,000 hingga RM200,000.

Dengan pelaksanaan GST tahun depan, SWBEU berharap hasil daripada kenaikan  pendapatan kerajaan itu nanti dapat diagihkan kepada rakyat dan kakitangan awam atas jasa mereka yang turut menyumbang kepada kemajuan negara.