Tiga cedera dibelasah samseng pub

0

KUCHING: Hanya kerana menegur sikap sekumpulan pemuda yang mengusik rakan wanitanya, dua lelaki dan seorang wanita cedera teruk dibelasah oleh pemuda-pemuda yang naik hantu di sebuah pusat hiburan di Travillion di sini, awal pagi semalam.

CEDERA: Mangsa dari Kampung Bintangor berbual dengan rakan sementara menunggu giliran rawatan.

Difahamkan, mangsa-mangsa bersama beberapa rakan lain sedang bersuka ria dalam pusat hiburan tersebut apabila kumpulan itu mula mengusik salah seorang rakan wanita.

Apabila tidak dihiraukan, salah seorang daripada kumpulan itu dikatakan mula membaling-baling ketulan ais ke arah wanita itu.

Salah seorang mangsa, lelaki berusia 29 tahun dari Kampung Bintangor, dikatakan tidak berpuas hati dengan gelagat kumpulan pemuda terbabit lalu menegur kumpulan tujuh pemuda terbabit hingga tercetus pergaduhan.

Salah seorang daripada ahli kumpulan itu memukul kepala mangsa menggunakan botol kaca malah wanita berusia 26 tahun dari Jalan Ellis dan seorang lagi lelaki dari Bintangor tidak dikecualikan dari serangan tersebut.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan.

Difahamkan, beg tangan mangsa wanita turut dilarikan kumpulan tersebut.

Laporan polis telah dibuat untuk siasatan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki dari Kampung Pangkalan di Bau turut cedera di kepala selepas didakwa cuba mengusik wanita di sebuah pub di King Centre, di sini.

Dalam insiden jam 1 pagi itu, lelaki berusia 29 tahun difahamkan, diserang dan dipukul menggunakan botol kaca.

Polis turut bergegas ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan.

Lelaki itu dibawa ke HUS untuk menerima rawatan.