23,379 MyKad dan MyKid tidak dituntut sejak 2011

0

KUCHING: Sejak 2011 hingga 22 September tahun ini, sebanyak 23,379 MyKad dan MyKid bagi kanak-kanak tidak dituntut oleh rakyat negeri ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, untuk itu beliau meminta kesemua pemohon MyKad dan MyKid tampil menuntut kad pengenalan mereka di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di kawasan masing-masing.

“Sehingga kini jumlah kad pengenalan atau MyKad dan MyKid yang belum dituntut adalah sebanyak 23,379 yang mana Kuching mencatat jumlah tertinggi diikuti Bintulu, Kota Samarahan dan Limbang.

“Kita amat berharap pihak terbabit terutama pemohon tampil segera menuntut kad pengenalan mereka di pejabat JPN di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Program Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini semalam.

Fatimah menjelaskan, pihaknya tidak tahu mengapa pemohon yang telah memohon kad pengenalan gagal tampil untuk menuntut kad mereka.

Pada masa sama beliau memberitahu, sebagai langkah memastikan pemohon kad pengenalan mengambil MyKad dan MyKid mereka, JPN Sarawak bekerja rapat dengan Pejabat Daerah.

“JPN Sarawak bekerjasama dengan Pejabat Daerah untuk memaklumkan kepada mereka terbabit untuk tampil segera menuntut kad pengenalan mereka,” ujarnya.