Contohi kaum Cina jika ingin berjaya

0

Oleh Watt Zacchaeus //

Orang Cina manfaat apa sahaja peluang untuk perbaiki diri dalam apa sahaja bidang

KANOWIT: Masyarakat Iban perlu mencontohi kaum Cina jika mereka ingin berjaya dalam kehidupan.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Gramong Juna berkata masyarakat Cina memanfaatkan apa sahaja peluang yang ada untuk memperbaiki diri dalam apa sahaja bidang.

“Satu kelemahan yang masih ketara dalam masyarakat kita (Iban) ialah sikap tunggu dan lihat.

“Kita harus ingat aspek pembangunan, masa dan umur tidak menunggu sesiapa. Kita harus membuang jauh-jauh sikap itu,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Nanga Tada, Sabtu lalu.

Gramong yang juga Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) berkata semasa zaman sekolahnya, ramai ibu bapa masyarakat Iban teragak-agak menghantar anak mereka bersekolah apabila kerajaan mula membuka sekolah baharu.

“Mereka (ibu bapa) kemudian berkata, ‘tengok dahululah dan tunggu dan lihat macam mana’. Tetapi, untuk berapa lama kita mahu tunggu dan lihat? “Kita mesti merebut peluang apabila ia sudah berada di depan mata,” katanya.

Sehubungan itu, Gramong menggesa pemilik tanah NCR yang masih teragak-agak menyertai projek tersebut agar tidak membuang masa mereka membuat keputusan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan berkata, mereka tidak akan menyesal menyertai projek tersebut yang akan meningkatkan ekonomi dan memperolehi keuntungan daripada tanah yang diwarisi mereka.

“Tanah kita akan menjadi aset apabila dibangunkan dan menghasilkan pendapatan,” jelasnya.

Projek tersebut adalah usaha sama Victory Round Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Subur Tiasa, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dan 169 pemilik tanah NCR.

Menurut Pengurus Kanan Subur Tiasa Philip Teng, Victory Round Sdn Bhd telah melabur RM130 juta untuk membangunkan 12,037 hektar dengan menanam kelapa sawit.

Beliau menggesa pihak yang berkepentingan untuk bekerjasama bagi memastikan kejayaan projek itu.

Hadir sama ADUN Ngemah Alexander Vincent, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Pengurus Kanan Bahagian Agro PELITA Razali Zainuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Nanga Tada Tuai Rumah Mathews Chuat Seribu, Penghulu Ugap Seribu, Penghulu Juni Massam dan Penghulu Juin Adam.