Dua Pos Maritim akan dibina di Sarawak

0

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

Pertingkat pengawalan dan keselamatan oleh APMM di perairan negeri ini, kata Abim

MIRI: Dua Pos Maritim akan dibina di Sarawak menjelang 2015 bagi mempertingkatkan pengawalan dan keselamatan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan negeri ini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Miri Kapten Maritim Abim Sungom berkata kawasan dimaksudkan adalah Kampung Kuala Sibuti dan satu lagi di Lawas.

Menurutnya, kedua-dua pos berkenaan akan memainkan peranan masing-masing bagi memantau kegiatan perikanan haram di kawasan terumbu karang Miri-Sibuti dan penyeludupan barang dari Labuan.

“Kami terima banyak laporan mengenai aktiviti nelayan menangkap ikan secara haram di kawasan terumbu karang Miri-Sibuti awal tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Program Sahabat Maritim 2014 di Kampung Kuala Sibuti di sini.

Oleh itu, pihaknya merasakan adalah satu langkah tepat mempunyai satu Pos Maritim di Sibuti demi mempertahan kepentingan nelayan tempatan.

Manakala di Lawas, ia untuk membanteras kegiatan penyeludupan yang disyaki dilakukan membawa masuk barang dari Labuan secara tidak sah.

Mengenai kegiatan pengeboman ikan di perairan Miri, Abim memberitahu bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan setakat ini.

“Saya percaya pihak media memainkan peranan penting memberikan kesedaran kepada orang awam melaporkan kegiatan pengeboman ikan yang memusnahkan kawasan terumbu karang,” jelasnya.

Sementara itu, program itu bertujuan memperkukuh pertalian APMM dan penduduk kampung terbabit yang rata-ratanya nelayan.

Program sama turut menyaksikan APMM menyerahkan 50 unit jaket keselamatan kepada penduduk kampung bagi mempertingkatkan kesedaran tentang menjaga keselamatan ketika di laut.

Turut hadir Ketua Kampung Kuala Sibuti Abdullah Yaman.