IOSTE diharap jadi platform perkasa pendidikan sains, teknologi, matematik

0

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu melihat resolusi sama ada persekitaran pembangunan pendidikan sains dan teknologi serta matematik menggunakan bahasa Inggeris mengikut arah tuju yang betul.

Menurutnya, resolusi itu bagi mengetahui perkembangan terkini persekitaran pembangunan pendidikan sains dan teknologi serta matematik khasnya dalam memenuhi permintaan sumber tenaga teknikal mahir di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Justeru, beliau berharap Simposium Pertubuhan Pendidikan Sains dan Teknologi Antarabangsa (IOSTE) Ke-16 Borneo 2014 dijadikan platform untuk memperkasakan lagi pembangunan pendidikan dalam bidang itu.

“Saya mahu melihat beberapa resolusi berkaitan persekitaran pendidikan dapat dicapai serta sama ada mengajar sains dan teknologi termasuk matematik dalam bahasa Inggeris mengikut arah tuju yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh pada Majlis Perasmian IOSTE Ke- 16 Borneo 2014 di sini semalam.

Pada masa sama, Adenan menggesa delegasi IOSTE tempatan agar menjalinkan kerjasama erat dengan rakan antarabangsa untuk memacu penyelidikan dan pembangunan pendidikan sains dan teknologi ke arah yang lebih tinggi.

Oleh itu, beliau amat mengalu- alukan perkongsian pengalaman pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris dalam sains dan teknologi termasuk matematik.

“Secara peribadi saya amat menyokong penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek sains dan matematik kerana ia merupakan bahasa domain dan banyak dipakai dalam komuniti saintifik di dunia,” tambahnya.

Selain itu, beliau memberitahu abhawa pembangunan pendidikan sains dan teknologi penting dalam memacu kemajuan dan ekonomi sesebuah negara.

“Sehubungan itu, simposium ini amat bertepatan untuk Sarawak khasnya dalam pembangunan di SCORE kerana ia mampu menyumbang ke arah transformasi tenaga mahir dalam bidang sains dan teknikal,”ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu semalam Presiden IOSTE Dr Stephen Keasty, pengerusi penganjur Prof Dr Margaret Chan, Pengarah Pendidikan Sarawak Serina Sauni, Pengarah Institut Pendidikan Guru Batu Lintang Awang Hambali, Pengarah Institut Latihan Guru Tun Abdul Razak Hamsiah Abdullah Masni, Rektor Universiti Teknologi MARA Sarawak Datuk Dr Jamil Hamali dan tetamu kehormat lain.

Simposium IOSTE Borneo 2014 diadakan selama tujuh hari bermula 21 September di Hotel Riverside Majestic Kuching yang disertai delegasi daripada 18 negara.