Ketua VAT69 cadangkan pemantauan udara di kawasan tempur di Simunul

0

KOTA KINABALU: Ketua pasukan komando VAT69 mencadangkan supaya pemantauan udara dilakukan ke atas kawasan tempur di perkampungan air Simunul, Semporna di mana beberapa anggota polis terperangkap, Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.

ASP Shaiful Azmi Omar berkata rancangan operasi lebih baik diperlukan bagi menyelamat anggota polis berkenaan, yang terperangkap di Kampung Sri Jaya, Simunul semasa melakukan serbuan untuk menangkap seorang suspek yang dikaitkan dengan pencerobohan Lahad Datu ketika serang hendap berlaku pada petang 2 Mac tahun lepas.

Beliau berkata  DSP Hisham Mahmood dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman, yang dilantik mengetui operasi menyelamat itu, dan sukarelawan polis Semporna Konstable Thanyman A/L Antonysamy menaiki sebuah helikopter untuk melakukan pemantauan udara ke atas kampung itu pada jam 9.30 pagi, 3 Mac tahun lepas.

“Lebih kurang jam 11.30 pagi, DSP Hisham menyampaikan taklimat mengenai operasi penyelamatan kepada anggota-anggota VAT69 dan kami diberitahu operasi akan dimulakan pada jam 2 petang pada hari sama,” katanya.

Shaiful Azmi berkata beliau, Hisham, Thanyman dan seorang lagi ketua pasukan VAT69 ASP Andrew Gani Jimmy dan 49 anggota VAT69 tiba di sebuah kawasan terbuka berdekatan Kampung Sri Jaya pada kira-kira jam 2 petang di mana mereka bersatu dengan pasukan sokongan merangkumi anggota dari Batalion 14 Pasukan Gerakan Am dan Batalion 22 regimen Askar Melayu Diraja.

Terdahulu,  Andrew Gani berkata daripada semua senjata dan senjata api yang dirampas semasa operasi menyelamat di Kampung Sri Jaya, hanya dua sahaja yang mempunyai tanda.

Ditanya peguam Datuk N. Sivananthan apakah senjata itu, komando VAT69 berkata ia adalah selaras senapang M16 yang tertera perkataan ‘Made in the Philippines’ dan sebilah kapak. — Bernama