Semalaman tak balik, pagi dah jadi mayat

0

Oleh Kepu Sidi //

Mekanik ditemui mati di Jalan Kubu Lama berhampiran sebuah tokong awal pagi semalam

MATI: Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses selanjutnya.

SARIKEI: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dan bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di sini ditemui mati di Jalan Kubu Lama berhampiran sebuah tokong di Muara Sungai Nyelong, awal pagi semalam.

Mayat mangsa ditemui orang awam di tepi meja berhampiran sebuah tokong dalam keadaan terlentang dengan hanya berbaju lengan pendek dan berseluar pendek.

Sebaik menemui mayat tersebut orang awam terus bertindak menghubungi polis.

Setelah menerima maklumat mengenai kejadian itu, polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan awal kes bagi mendapatkan identiti mangsa.

Sementara itu, bapa mangsa yang berusia 60-an, ketika ditemui berkata mangsa adalah anak sulung kepada lima beradik.

“Pada jam 2 petang kelmarin (Ahad), mangsa dijemput salah seorang rakannya untuk keluar, namun selepas itu mangsa semalaman tidak pulang ke rumah.

“Saya menerima panggilan daripada polis untuk datang ke lokasi kejadian melakukan proses pengecaman terhadap satu mayat dipercayai anak saya.

“Setibanya di lokasi kejadian, saya mendapati bahawa mayat itu adalah anak sulung saya,” kata bapa mangsa dengan nada sayu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei DSP Dominic Josip Nyarui ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal polis mendapati terdapat kesan calar pada bahagian tepi mata mangsa yang bernama Paw Yeow Wei, beralamat di Batu 6 1/2, Jalan Repok.

“Polis mengklafikasikan kes ini sebagai mati mengejut. Namun masih dalam proses siasatan,” kata Dominic.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sarikei sementara menunggu proses selanjutnya.

Lelaki tidak balik ke rumah semalaman ditemui mati di Jalan Kubu Lama, Sarikei, awal pagi semalam.