Ada mesej di sebalik berdirinya KIS Sibu, kata Taib

0

Oleh Watt Zacchaeus

 

RASMI: Taib (tiga kanan) menyempurnakan gimik pelancaran KIS Sibu sambil diperhatikan Ragad (empat kanan), Abang Johari (kanan), Daud (kiri), Abang Shibli (dua kanan) serta yang lain di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Berdirinya Kompleks Islam Sarawak (KIS) Sibu di sini menggambarkan hasrat besar umat Islam mahu bekerjasama dengan semua kaum, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurutnya, ini penting bagi menjamin kemakmuran dan pembangunan berterusan untuk rakyat di negeri ini agar dapat dikecapi dan memperoleh manfaat bersama.

“KIS Sibu yang tersergam indah berdiri di tengah-tengah pusat bandar serta perkampungan Islam di sini menunjukkan Islam menuntut keamanan, kemakmuran dan perpaduan.

“Kita amat berbangga dengan mercu tanda ini yang menunjukkan bermulanya impian kita untuk mengorak langkah demi kemajuan Islam dan berganding bahu dengan kaum lain bagi manfaat bersama, menyumbang ke arah pembangunan negeri ini,” katanya pada perasmian KIS Sibu di Jalan Awang Ramli Amit di sini, malam kelmarin.

Hadir sama isterinya, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee serta barisan kenamaan lain.

KIS Sibu mempunyai keluasan tapak 5.7 ekar dan terdiri daripada dua komponen iaitu menara pejabat sembilan tingkat dan blok bangunan dewan serba guna.

Projek pembinaan kompleks ini bermula pada 2 Disember 2010 dan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2013 dengan kos berjumlah RM50 juta.

Taib berkata, kejayaan mendirikan KIS Sibu bukan sahaja atas usahanya seorang malah ramai ahli kabinetnya sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri, membantu dan mengembleng tenaga bagi memastikannya menjadi kenyataan.

“Sebenarnya, saya dibantu ramai orang, antaranya Abang Johari dan Daud yang banyak membantu dalam hal ehwal Islam di negeri ini.

“Justeru, usaha hari ini timbul kesedaran kepada orang Islam bahawa kita bukan sahaja bersatu untuk satu tujuan sahaja malah membawa impak kepada semua kaum di negeri ini.

“Oleh itu, KIS Sibu yang turut mempamerkan keindahan ajaran Islam dengan menyuburkan keharmonian dan perpaduan antara kaum merangkumi pelbagai budaya, agama dan kepercayaan melalui penyediaan insfrastruktur yang boleh diguna pakai segenap lapisan masyarakat majmuk di negeri ini khususnya di Sibu,” tegasnya.

Beliau menyifatkan KIS Sibu adalah pengkongsian semua orang bukan sahaja orang Islam tetapi menolong semua orang yang dapat menguntungkan semua pihak.

“Ini adalah tabiat kita di Sarawak yang sudah menjadi pegangan sejak dahulu.

“Kita kongsi bersama demi kepentingan serta tanggungjawab bersama menyumbang kepada pembangunan negeri ini melalui pengkongsian aset,” tambahnya.

Sementara itu, Taib mengingatkan golongan muda agar dapat meneruskan legasinya untuk pembangunan negeri ini.

“Seandainya kita mempunyai golongan muda yang berilmu dan dinamik, sasaran kita menjadi sebuah negeri terkaya di Malaysia akan tercapai.

“Apa yang penting untuk merealisasikan impian itu semangat perpaduan, toleransi dan hormat-menghormati antara kaum harus diterapkan bagi memastikan kemakmuran negeri ini terpelihara seterusnya semua kaum merasai manfaat bersama,” katanya.