“Dikejar syaitan”

1

Oleh Michael Ubam//

BAGAI ‘DIRASUK’: Mangsa menangis dan meracau-racau ketika di Balai Polis Sentral Sibu pagi semalam.

SIBU: Seorang ibu muda mendakwa ‘dirasuk’ selepas mengalami histeria sehingga enggan didekati oleh suaminya di sebuah rumah sewa di Jalan Bukit Assek di sini, awal pagi semalam.

Menurut si suami, 23, isterinya tiba-tiba menjerit-jerit sekitar jam 1 pagi menyebabkan beliau dan saudara-maranya yang tinggal di situ cemas.

“Saya cuba mententeramkannya, namun dia memberitahu saya dikelilingi oleh syaitan dan enggan didekati walaupun saya suaminya,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, dia dan saudara-maranya berjaya mententeramkan isterinya buat seketika, namun keadaan menjadi kecoh semula pada jam 6 pagi apabila isterinya menjerit-jerit kembali.

Kali ini, katanya, mangsa menjerit sambil berlari keluar dari rumah dan meninggalkan bayinya yang baharu berumur dua bulan.

Menurutnya, dengan bantuan saudara-mara, dia cuba mencari isterinya itu sehinggalah menjumpainya di Balai Polis Sentral.

“Apabila melihat saya, dia enggan didekati malah menganggap saya macam hantu,” kata si suami tatkala isterinya meminta bantuan polis sambil memberitahu dia ‘dikejar syaitan.’

Tambah pelik apabila si isteri memberitahu: “Saya sangat takut. Saya hanya mahu pergi masjid. Saya dirasuk. Aduh! Tolong saya!”

Tidak tahan dengan gelagat isterinya, si suami menghubungi bapa isterinya yang tiba di Balai Polis Sentral sekitar jam 7 pagi.

Katanya, isterinya turut meminta ayahnya agar tidak mendekatinya kerana beliau juga dilihat seperti ‘syaitan.’

Menurut si suami, bapa mentuanya sudah berkahwin baharu dan tinggal di Bintangor.

Beberapa hari lalu, si suami ada berjumpa dengan seorang bomoh yang memberi amaran kepadanya agar menjaga isterinya dengan baik kerana ada orang akan ‘mengenakan’ isterinya.

Sejak hari itu, suami mangsa memantau keadaan isterinya, namun tiada sebarang insiden aneh berlaku sehinggalah pagi semalam.

Mangsa juga dikatakan meracau-racau dan meminta pertolongan polis agar menghantarnya pergi ke masjid kerana Tuhan sahaja yang mampu membantunya.

Sehingga berita ini ditulis semalam, keadaan wanita tersebut masih belum reda memaksa suaminya menunggu berjam-jam di balai polis.