Rakyat di luar bandar perlu hidup serumpun bersama kerajaan BN

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa memberitahu perpecahan di kalangan rakyat tidak akan memberi sebarang keuntungan dalam membangunkan taraf hidup mereka.

Menurutnya, rakyat di luar bandar perlu hidup serumpun bersama kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan bukan bersekongkol dengan pembangkang.

Katanya, pembangunan pesat yang dikecapi rakyat hari ini adalah kerana sokongan berterusan masing-masing kepada BN bagi kekal menerajui kerajaan pusat.

“Saya memohon agar rakyat di Engkilili terus kekal menyokong BN bagi memperhebat pembangunan di kawasan ini,” katanya pada Majlis Pembukaan Tapak Tanah Baharu di Rumah Bulie, Lidong, Skrang, Engkilili, kelmarin.

Justeru, Dr Rayong mengajak rakyat di sini memberi sokongan penuh kepada Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang telah ditubuhkan di negeri ini.

“UPP akan terus kekal berjuang dengan BN bagi memastikan kawasan Engkilili dibangunkan untuk kepentingan serta kebaikan kita bersama,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Rayong mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM3,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bulie.