Bantah perpindahan

0

Oleh KENNEDDY CORLLEUS //

Lebih 3,000 penduduk Kinarut minta kerajaan timbang semula penempatan penduduk dari Pulau Gaya ke kawasan mereka

PAPAR: Pemimpin masyarakat setempat dan sebahagian besar penduduk di Kinarut, dekat sini, meminta kerajaan negeri menimbang semula langkah menempatkan penduduk dari Pulau Gaya di ibu negeri ke kawasam Kinarut, di sini.

Mereka khuatir penempatan penduduk dari Pulau Gaya ke Kinarut akan membawa kesan dan impak negatif, terutamanya dalam soal sosial di kawasan berkenaan.

Ketua Kampung Gusi, Dual Asmaun, berkata sebilangan besar penduduk Kinarut bimbang cadangan kerajaan itu akan menimbulkan banyak kes sosial, termasuk jenayah di sekitar kawasan itu nanti.

Ekoran itu, katanya, satu petisyen yang ditandatangani lebih 3,000 penduduk Kinarut sudah diserahkan kepada wakil rakyat di kawasan berkenaan pada tahun 2012 bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap cadangan perpindahan itu.

“Kami difahamkan beberapa bangunan melibatkan 1,400 unit rumah bakal dibina untuk tujuan ini di kawasan seluas 20 ekar di Kampung Gusi, termasuk satu lagi kawasan di Kampung Kuala Dua.

“Keadaan ini membimbangkan serta mengecewakan kami kerana terdapat ramai penduduk setempat yang masih menunggu permohonan tanah mereka diluluskan untuk membina rumah tempat berlindung.

“Kami juga yakin cadangan penempatan semula ini bukan saja tidak dipersetujui penduduk di Kinarut, malah turut dibantah masyarakat lain di kampung berdekatan seperti Kawang.

“Justeru, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan perkara ini demi kepentingan semua pihak terutamanya masyarakat di kawasan Kinarut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Taklimat Isu Semasa anjuran Jabatan Penerangan yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail dan Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Sementara itu, Dual berharap kerajaan dapat mencari langkah terbaik untuk semua pihak dalam menangani isu penempatan semula penduduk Pulau Gaya.

Beliau menyarankan penempatan semula itu dipindahkan ke satu lokasi di antara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kerana difahamkan kerajaan mempunyai tanah rizab di situ.

“Ada satu kawasan yang dikenali sebagai Perumahan Safoda sesuai sebagai penempatan semula kerana ia terletak jauh sedikit daripada perkampungan penduduk setempat.

“Bukan sahaja ia terletak jauh dari penduduk setempat, malah lokasi berkenaan berdekatan dengan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA). Ini sudah pasti dapat memudahkan pihak berkuasa melakukan pemantauan jika terdapat sebarang aktiviti negatif,” katanya.