Jumpa janin dalam tong sampah

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

PUTATAN: Naluri keibuan membuatkan seorang pekerja pembersihan di Pangsapuri Putatan Platinum Plaza terdetik membuka balutan lampin di dalam tong sampah berisi satu objek dipercayai janin manusia, di sini kelmarin.

Beginilah keadaan rupa janin yang cukup sifat dan ditemui dalam kejadian itu pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, Loula Silaus, 45, difahamkan sedang menjalankan aktiviti hariannya dengan membersihkan tong-tong sampah di perkarangan tempat parkir bawah tanah pangsapuri itu.

Bagaimanapun, ketika menyelongkar dan membersihkan sampah, wanita terbabit berasa sedikit musykil apabila melihat bungkusan plastik berwarna hitam, lalu membuat pemeriksaan.

“Sebagai seorang ibu, naluri saya kuat mengatakan ada sesuatu dalam plastik sampah ini dan ketika membukanya, terdapat balutan lampin berwarna putih serta mempunyai kesan darah.

“Sejurus membuka lapisan lampin itu, saya terkejut menemui objek seakan-akan janin manusia sebesar enam inci dan saya kemudian bergegas memaklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan untuk meminta bantuan polis,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Loula berkata, ia pengalaman pertamanya menemui perkara sedemikian sejak bertugas sebagai pekerja pembersihan di pangsapuri berkenaan sejak tiga bulan lalu.

“Apa yang saya sedih adalah ada juga kalangan manusia sanggup melakukan sedemikian rupa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Menurut beliau, janin itu dibawa ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih giat dijalankan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini dinasihatkan untuk segera tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang di talian 088-712222 bagi membantu siasatan kes,” katanya.