Lebih RM100j setahun diperuntuk untuk Program Susu Sekolah

0

KLANG: Kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta setahun bagi melaksanakan Program Susu Sekolah 1Malaysia (PS1M) yang memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar sekolah rendah kerajaan seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P.Kamalanathan berkata pada tahun ini, program tersebut bakal dinikmati 7,685 pelajar sebagai usaha berterusan membina generasi baharu yang lebih cerdas.

“Kementerian mencadangkan 24 Sept setiap tahun sebagai sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan selaras dengan sambutan Hari Susu Sedunia buat julung kalinya.

“Ini adalah harapan untuk memastikan murid-murid ini mendapat manfaat sepatutnya daripada susu seperti mana yang diketahui memberi kebaikan terutama kepada golongan muda,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, beliau mewakili Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan melancarkan sambutan PS1M 2014 di Sekolah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, di sini, semalam.

Sementara itu, Muhyiddin dalam teks ucapan yang dibacakan Kamalanathan berkata produk PS1M harus diletakkan di bawah satu jenama agar ia mudah dikenali selain pemantauan rapi dapat dijalankan bagi memastikan standard susu 1Malaysia itu berada pada tahap paling tinggi.

Katanya, cara pengambilan susu juga perlu sentiasa diberi perhatian supaya tidak berlaku simptom tidak toleran laktosa atau masalah pengambilan diet yang boleh menyebabkan berlakunya keracunan makanan.

“Untuk tempoh enam tahun dari sekarang, negara akan melalui satu fasa transformasi penting dalam menentukan kita berjaya melangkah ke gerbang tahun 2020 dan seluruh minda dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara.

“Oleh itu, kerajaan sentiasa prihatin terhadap semua murid dalam menghasilkan generasi baharu yang lebih kuat, tegap dan lebih cerdas,” katanya.

Menurut Muhyiddin, menerusi program PS1M itu juga, murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah turut mendapat manfaat daripada pengambilan susu yang dibekalkan kerajaan secara percuma. — Bernama