Pemandu lori maut dihempap lengan kren

0

Kren didapati dikendalikan di luar tempoh yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan

MELAKA: Seorang pemandu maut apabila lori sampah  yang dipandunya dihempap lengan sebuah kren yang jatuh secara tiba-tiba ketika sedang menjalankan kerja pengutipan sampah di sebuah kompleks beli-belah di Bandar Hilir, di sini, semalam.

MAUT: Seorang pemandu lori pengangkut sampah maut apabila lori yang dipandunya dihempap oleh batang kren yang jatuh di sebuah kompleks beli-belah yang sedang menjalankan kerja pembinaan, di Banda Hilir di Melaka, semalam. — Gambar Bernama

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa Anas Tawi, 55, yang telah berkhidmat kira-kira 30 tahun dengan sebuah syarikat kontraktor bagi pengurusan sisa pepejal meninggal dunia kerana tersepit di tempat duduk pemandu selain mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Razali Bakar berkata ketika kejadian kren yang mampu mengangkat muatan seberat 25 tan itu sedang menaikkan sebuah pam konkrit ke atas bumbung kompleks itu untuk kerja pembinaan pawagam baru.

“Kren tersebut secara tiba-tiba terjungkit ke hadapan sebelum ia terjatuh menghempap bumbung lori yang dipandu mangsa ketika menjalankan kerja pemunggahan sampah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata mangsa yang merupakan warga Indonesia dan mempunyai taraf penduduk tetap itu meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Nazili Mahmood berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.37 pagi dan tiba 12 minit kemudian dengan sebuah jentera dan jentera Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan(EMRS) dengan lapan anggota dari balai Jalan Kubu.

“Kita terpaksa menggunakan peralatan menyelamat hidraulik bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian kaki di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan pada jam 6.04 pagi,” katanya.

Rakan mangsa, Sabari Bidin, 45, berkata ketika kejadiaan dia dan mangsa yang ditugaskan untuk menjalankan kerja mengutip sampah di kompleks berkenaan tiba di lokasi pada jam 5.15 pagi.

“Ketika kejadian saya berada di luar lori untuk memunggah sampah. Secara tiba-tiba saya nampak kren yang sedang menjalankan kerja pembinaan di kawasan sama jatuh dan menghempap bumbung lori,” katanya yang baharu berkhidmat selama empat bulan dengan syarikat itu.

Dalam pada itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ismail Othman berkata projek pembinaan pawagam tambahan di kompleks tersebut diarah berhenti serta-merta bagi kerja penyiasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kerja pembinaan dilakukan di luar tempoh yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan iaitu antara jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Kita tidak tahu mengapa kerja-kerja projek ini perlu dilakukan pada awal pagi iaitu di luar waktu yang dibenarkan di mana jarak penglihatan terhad,” katanya.

Pengarah JKKP Melaka Jaafar Leman berkata pemeriksaan awal mendapati kejadian itu mungkin berpunca daripada kedudukan kren yang tidak stabil di atas tanah selain kemungkinan berat pam konkrit yang diangkut melebihi muatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994. — Bernama