PLKN perlu beri penekanan kepada kesinambungan bekas pelatihnya

0

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu memberi penekanan terhadap kesinambungannya kepada kira-kira 800,000 bekas pelatih program itu pada masa hadapan, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau yang akan bersara Jumaat ini berharap penggantinya kelak akan berusaha memastikan bekas pelatih program itu kekal berkhidmat kepada masyarakat supaya orang ramai dapat melihat impak PLKN dengan lebih jelas.

“Sudah ada kira-kira 200,000 bekas pelatih PLKN yang terlibat menjalankan program-program sukarelawan dalam Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) yang ditubuhkan pada 2012. Saya harap selepas ini semua bekas pelatih PLKN dapat menyertai BSKN,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

BSKN adalah sebuah badan yang dianggotai bekas pelatih PLKN bertujuan untuk menggerakkan alumni PLKN dalam menjalankan kerja-kerja kesukarelaan.

Abdul Hadi berkata sepanjang beliau memegang jawatan itu sejak Feb 2007, antara cabaran utama digalasnya adalah untuk membetulkan persepsi orang ramai terhadap keberkesanan PLKN.

Katanya program itu yang berteraskan pembangunan insaniah melalui pembelajaran secara pengalaman tidak dapat diukur dan tidak harus dibandingkan dengan wang ringgit.

Katanya, hasil keputusan jawatankuasa kabinet, satu kajian keberkesanan wajib diadakan setiap lima tahun dan hasil kajian pada 2009 mendapati lebih 80 peratus berpuas hati dengan program itu.

“Kajian pada 2009 bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melibatkan 61,950 responden termasuk ibu bapa, majikan dan pensyarah mendapati responden berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan pelatih PLKN.

“Kajian oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melibatkan lebih 40,000 pelajar di lima buah universiti dengan membandingkan pencapaian antara pelatih PLKN dan bukan pelatih PLKN, mendapati bekas pelatih PLKN lebih bagus dan telah mencapai objektifnya,” katanya.

Selain itu Abdul Hadi berharap PLKN sentiasa dikemas kini untuk memastikannya kekal relevan mengikut peredaran zaman dengan penambahbaikan submodul serta infrastruktur di kem-kem PLKN.

Perkara itu termasuk aspek keselamatan amat penting kerana JLKN bertanggungjawab meyakinkan orang ramai terutamanya ibu bapa bahawa jabatan itu telah melakukan yang terbaik untuk menjamin keberkesanan program dan keselamatan pelatih-pelatih, katanya.

“Antara yang saya perkenalkan adalah konsep kem terbuka, iaitu ibu bapa boleh melawat kem setiap hujung minggu. Nyata langkah ini telah disambut baik kerana tiada apa yang ingin disorokkan. PLKN bukan penjara” katanya.

Sementara itu walaupun masih ada pihak ingin PLKN dihentikan kerana menelan belanja sehingga RM600 juta setiap tahun, beliau sebaliknya ingin lebih ramai menyertai program itu kerana pelatih-pelatih PLKN merupakan aset dan asas kepada pembentukan negara yang lebih makmur dan maju pada masa hadapan.

Tambahnya permohonan yang tinggi untuk menyertai PLKN secara sukarela setiap tahun juga membuktikan keyakinan orang ramai terhadap kemampuan dan keberkesanan program itu.

“Saya tidak menolak ada kes-kes seperti buli dan sebagainya. Namun kita perlu faham apabila pelatih daripada latar belakang yang berbeza ditempatkan di kem yang sama, maka wujudlah krisis. Tapi ia mengajar mereka tentang erti kehidupan dan selalunya mereka yang bergaduh ini akan jadi lebih rapat.

“Kita sedang membentuk manusia. Kita tidak membuat produk yang mana hasilnya akan dapat dilihat dengan mata kasar. Membentuk manusia makan masa,” katanya.

PLKN yang dilaksanakan sejak 2004 antara lain bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, melahirkan generasi muda yang cergas dan penuh keyakinan diri, membentuk perwatakan positif dan melahirkan insan yang prihatin dan berjasa kepada masyarakat. — Bernama