Sukarelawan polis tidak tahu hanya seorang lelaki asing dalam kawad cam

0

KOTA KINABALU: Seorang sukarelawan polis Semporna memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa beliau tidak tahu lelaki yang memerhatikannya di pekan Semporna pada 1 Mac tahun lepas ialah satu-satunya rakyat asing dalam kalangan 14 orang dalam kawad cam.

Ketua Sukarelawan Polis Semporna Sarjan Mohd Ghadafe Mohd Lipai berkata berkata beliau mengenal pasti lelaki itu, seorang warga Filipina dalam kawad cam yang diadakan pada 23 Mac tahun lepas.

Kepada soalan peguam Datuk N. Sivananthan sama ada beliau tahu bahawa lelaki itu, dikenal pasti sebagai tertuduh ke-20 Datu Amirbahar Hushin Kiram, ditangkap kira-kira jam 1.30 pagi pada 23 Mac, Mohd Ghadafe berkata beliau tidak tahu.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau dimaklumkan Datu Amirbahar pada mulanya disiasat mengikut Akta Senjata Api.

Sivananthan selaku peguam utama yang dilantik oleh kerajaan Filipina untuk mewakili 27 rakyatnya yang menghadapi pelbagai tuduhan yang dikaitkan dengan pencerobohan di Lahad Datu, diketuai oleh Datu Agbimuddin Kiram pada Februari tahun lepas.

Sivananthan: Saya kata kepada kamu bahawa kamu tidak diminta untuk hadir ke kawad cam mana-mana tertuduh lain yang diberkas sebelumnya (sebelum 23 Mac, 2013) kerana pihak berkuasa perlu seseorang untuk mengenal pasti tertuduh ke-20, yang ada hubungan kekeluargaan dengan Kiram.

Mohd Ghadafe: Saya tidak tahu.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa semasa pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, tertuduh ke-20 diminta oleh pihak berkuasa untuk membantu mereka dalam rundingan dengan pihak penceroboh?

Mohd Ghadafe: Saya tidak tahu.

Terdahulu, Mohd Ghadafe memberitahu mahkamah dia tidak dapat menghubungi ibu pejabat polis Semporna untuk melaporkan tentang lelaki yang memerhatikannya di pekan Semporna.

Katanya lelaki itu mendekati keretanya selepas dia dan anak-anaknya masuk ke dalam kereta selepas membeli barang di Kedai Umairah.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, sukarelawan polis itu berkata dia takut apabila melihat lelaki itu, yang membawa sarung senjata api dipercayai mengandungi raifel M16, menghampiri keretanya.

Terdapat dua lagi lelaki di belakangnya, kata Mohd Ghadafe.

Datu Amirbahar dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, kesalahan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan menjadi anggota kumpulan pengganas, kesalahan yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan denda, jika sabit kesalahan.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas. — Bernama