Tun Zaki: Jawatankuasa bebas mahu fahami penyediaan, pengedaran soalan peperiksaan

0

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Kendalian Lembaga Peperiksaan perlu memahami cara-cara penyediaan soalan peperiksaan dan pengedaran kertas soalan sebelum memutuskan sebarang kelemahan dan mengemukakan sebarang cadangan.

Pengerusi jawatankuasa bebas tersebut Tun Zaki Tun Azmi berkata jawatankuasa berkenaan bercadang melawat sekolah atau tempat mencetak kertas soalan bagi menjejaki bagaimana kertas soalan diedarkan kepada calon selain berjumpa dengan guru-guru.

“Sekarang jawatankuasa ini hendak memahami perjalanan (penyediaan soalan peperiksaan dan pengedaran kertas soalan). Banyak lagi nak kena faham. Bila kita sudah kupas, faham dan lihat kelemahan, baharu buat cadangan.

“Cadangan (dikemukakan) berdasarkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan yang berlangsung hampir tiga jam di Lembaga Peperiksaan di sini semalam.

Beliau berkata dalam mesyuarat pertamanya semalam, jawatankuasa bebas diberikan taklimat oleh Kementerian Pendidikan mengenai cara-cara soalan peperiksaan disediakan dan kertas soalan diedarkan kepada sekolah dan pusat peperiksaan.

“Amat menarik mendapat tahu tentang bagaimana soalan disediakan dan diedarkan. Kita semua sudah ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tapi tidak tahu macam mana soalan sampai kepada kita,” katanya.

Ditanya sama ada jawatankuasa itu akan melawat tempat pencetakan di dalam negara atau luar negara, Zaki berkata di dalam negara.

“Kami perlu pertimbangkan untuk pergi ke luar negara kerana ia akan membelanjakan dana awam yang banyak. Adakah wajar untuk membelanjakannya atau tidak, saya amat berhati-hati,” katanya dan menurutnya ada kertas peperiksaan dicetak di luar negara dan juga di dalam negara.

Dalam sidang media berkenaan, bekas Ketua Hakim Negara itu turut memberikan peringatan kepada mereka yang terlibat mengedarkan soalan peperiksaan melalui aplikasi media sosial.

“Perbuatan mengedarkan benda yang rahsia adalah satu kesalahan. Ia bukan satu jenaka untuk ambil gambar. Setiap orang boleh didakwa di mahkamah. Jangan fikir ini perkara main-main. Ini kesalahan serius.

“Ini merupakan amaran kepada orang yang mengeluarkan semula (kertas soalan peperiksaan). Ini bukan jenaka,” katanya.

Beliau berkata mengeluarkan semula kertas soalan peperiksaan dan skrip jawapan boleh didakwa mengikut OSA (Akta Rahsia Rasmi) tetapi terpulang kepada budi bicara Peguam Negara.

Zaki berkata jawatankuasa berkenaan juga membuka satu laman web untuk mempelawa teguran dan pandangan semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru di http://www.moe.gov.my//lp

Beliau turut melahirkan rasa optimis bahawa jawatankuasa bebas berkenaan akan menyiapkan laporan dalam masa tiga bulan.

“Saya yakin kami akan mampu mencapai objektif. Saya dengan rasa gembira ingin menyatakan bahawa anggota (jawatankuasa) terlibat secara aktif dalam memberikan pandangan mereka dan mengemukakan semua persoalan,” katanya dan menurutnya seorang anggota iaitu Tan Sri Prof Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin tidak dapat hadir pada mesyuarat semalam kerana berada di luar negara.

Katanya jawatankuasa bebas berkenaan memutuskan untuk bermesyuarat dua kali seminggu.

Pada 10 Sept, kertas peperiksaan Science 018, 028, 038 Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ditangguhkan ke 30 Sept setelah didapati bocor. Sehari selepas itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 juga didapati turut bocor dan tarikh baharu peperiksaan juga ditetapkan pada 30 Sept.

Berikutan kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris UPSR itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  yang juga Menteri Pendidikan mengumumkan pelantikan Zaki sebagai pengerusi jawatankuasa bebas mengkaji pengurusan peperiksaan awam.

Isnin lepas, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof Kertas mengumumkan kertas peperiksaan Mathematics 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 UPSR yang berlangsung pada 10 Sept dibatalkan setelah disahkan bocor. — Bernama