Baik pulih: RM9.05 juta diberi kepada SABK, RM310,000 kepada SAR

0

KUCHING: Kementerian Pendidikan memperuntukkan sejumlah RM9.05 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Sarawak dan RM310,000 lagi kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) Sarawak bagi tujuan baik pulih pada 2014.

Kedua-dua cek peruntukan itu disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kepada Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman di Pejabat Ketua Menteri, Aras 5, Bangunan DUN di sini semalam.

Daud yang ditemui selepas penyerahan cek tersebut berkata Sarawak amat bertuah tahun ini kerana menerima peruntukan yang begitu besar hampir RM10 juta berbanding RM1.5 juta pada tahun sebelumnya.

Peruntukan tersebut menurut Daud, adalah bagi menampung dan membiayai kos baik pulih sekolah yang terpaksa ditanggung oleh SABK dan SAR yang diurus secara persendirian dan tidak menerima peruntukan terus daripada kerajaan pusat.

“Saya mahu menjelaskan di sini bahawa tidak hanya sekolah agama akan diagihkan dengan peruntukan oleh kerajaan pusat malah ia juga akan diagihkan kepada sekolah-sekolah mubaligh pada minggu akan datang.

“Saya tidak mahu nanti ada pihak yang mempersoalkan mengapa hanya SABK dan SAR diberikan bantuan tetapi yang jelas sekolah-sekolah mubaligh juga akan diberi bantuan yang mana ia akan disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan nanti,” kata Daud.

Daripada RM9.05 juta yang disampaikan untuk SABK semalam, RM5.05 juta adalah di bawah Pakej Rangsangan Khas yang akan disalurkan kepada 10 SABK Sarawak dan RM4 juta lagi di bawah Ubah Suai Naik Taraf kepada 10 SABK Sarawak.

Sementara itu bantuan bernilai RM310,000 yang diterima bagi SAR Sarawak pula adalah di bawah Pakej Rangsangan Khas untuk 12 buah SAR Sarawak.

Antara SABK yang tersenarai untuk menerima bantuan itu semalam ialah SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan (RM1.06 juta), SK (A) Ibnu Khaldun Kota Samarahan (RM960,000), SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud (RM730,000), SMKA Tun Ahmad Zaidi Adruce (RM350,000) dan SK (A) Majlis Islam Sarawak, Sarikei (RM960,000).

Turut tersenarai untuk bantuan ini ialah SK (A) Majlis Islam Sarawak, Bintulu (RM1.07 juta), SK (A) Majlis Islam Sarawak Sibu (RM1.22 juta), SK (A) Majlis Islam Sarawak Sri Aman (RM750,000), SK (A) Majlis Islam Sarawak Miri (RM1.2 juta) dan SK (A) Majlis Islam Sarawak Lawas (RM750,000).

Penerima bantuan bagi SAR pula terdiri daripada, Madrasah Darul Uloom Samarahan (RM5,000), SMAR Madrasah Islamiah, Kuching (RM5,000), Darul Uloom Falah E-Darain BDC, Kuching (RM5,000), SAR Ribat Raudah Al Mustofa, Kuching (RM5,000), Maahad Tahfiz An-Naim Lutong, Miri (RM5,000) dan Institut Tahfiz Bintulu, Bintulu (RM30,000).

Penerima lain termasuk Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah, Kuching (RM30,000), Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Kuching (RM30,000), Madrasah Tahfiz Al-Quran Ikhwal Islam, Kuching (RM30,000), SMAR Madrasah Al-Khairat, Kuching (RM40,000), Madrasah Darul Uloom Islamiah Kuching (RM50,000) dan Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yaakub Kuching (RM75,000).