Orang Ulu rai Hari Malaysia dengan majlis ‘Pahlung Kumang’

0

Oleh W.Bolly Ongie

 

BERIKRAR: Ketua-ketua masyarakat Orang Ulu dan tuai-tuai rumah panjang serta tetamu yang hadir, sama-sama membaca ikrar sempena sambutan Hari Malaysia Ke-51 di Dewan Suarah Marudi.

LEBIH 100 masyarakat Orang Ulu termasuk para pemimpin serta ketua-ketua kaumnya dan juga tuai-tuai rumah panjang dari suku kaum Iban dan lain-lain, meraikan Hari Malaysia dalam satu majlis khas dinamakan ‘Pahlung Kumang’.

Majlis itu juga yang dikenali sebagai ‘Melo Peji Pemung Kejaie’, diadakan sempena ulang tahun ke-51 pembentukan Malaysia, pada 16 September yang lalu, bertempat di Dewan Suarah Baram di Marudi, baru-baru ini.

Majlis tersebut yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Orang Ulu Marudi di Marudi, telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.

Aturcara sambutan yang serba sederhana namun amat bermakna itu, diisi dengan bacaan doa, menyanyikan lagu kebangsaan dan kebesaran negeri, bacaan ikrar serta upacara memotong kek Hari Malaysia.

SELAMAT ULANG TAHUN: Dennis (tengah) mengetuai barisan tetamu kehormat memotong kek Hari Malaysia Ke-51.

Turut diadakan sempena sambutan itu juga ialah pelancaran buku ‘Transformasi DUN N.67 Telang Usan’ yang ditulis oleh SAO Jeffery Jalong.

Buku tersebut memuatkan mengenai sejarah sepintas lalu dan perkembangan kawasan DUN Telang Usan pada hari ini, hinggalah ia diumumkan untuk dimajukan menjadi Bandar Baru Telang Usan oleh mantan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Selain mengisahkan mengenai pembangunan di Telang Usan, buku tersebut juga turut memuatkan banyak gambar yang ‘menceritakan’ sendiri kemajuan dicapai di kawasan tersebut, dengan liputan atau keratan akhbar yang banyak disiarkan dalam akhbar The Borneo Post.

Sementara itu Dennis dalam ucapan beliau pada majlis tersebut, melahirkan rasa gembira dengan masyarakat di luar bandar Baram khususnya kaum Orang Ulu yang kekal bersatu padu saling memberi sokongan dan kerjasama antara satu sama lain.

Malah katanya, sokongan padu yang dizahirkan oleh masyarakat Orang Ulu semasa penganjuran majlis kesyukuran seperti Pahlung Kumang atau Melo Peji Pemung Kejaie itu, baru-baru ini adalah bukti kesatuan di kalangan Orang Ulu di Marudi masih lagi kuat.

Sehubungan itu beliau mahu agar perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat Orang Ulu itu sendiri dapat terus dikekalkan malah dipertingkatkan, demi kebaikan dan pembangunan mereka.

“Pada masa yang sama saya berharap untuk melihat kalangan generasi muda Orang Ulu suatu hari kelak akan mewarisi semangat perpaduan, muhibah dan kerjasama yang kita semai pada hari ini,” katanya.

Katanya, suatu hari kelak, generasi muda Orang Ulu pasti akan bersyukur kerana golongan Orang Ulu hari ini dan terdahulu telah membuat pilihan yang bijak iaitu memilih untuk membangunkan masa depan mereka bersama negeri ini dan Malaysia amnya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Kaum Orang Ulu Marudi, TK. Christina Madang.