Rumah mewah tapi bil cuma RM50

2

CURI ELEKTRIK: Meter yang diubah suai bagi mengawal pergerakan meter elektrik.

SIBU: Rumah mewah dilengkapi pelbagai peralatan elektrik dan elektronik berkuasa tinggi tetapi penggunaan elektrik bulanan cuma RM50 telah membongkar rahsia penghuninya menipu meter SESCo.

Jurucakap Syarikat SESCo Bhd berkata pemilik sebuah rumah di Jalan Bedat itu meletakkan suis kawalan jauh di dalam meter untuk membolehkan meter tidak merekodkan penggunaan tenaga.

“Meter yang diubah suai itu telah dirampas dan dibawa ke Makmal Meter SESCo untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Rumah itu turut dipantau rapi oleh SESCo sejak 2011 kerana disyaki dalam kegiatan mencuri elektrik dengan mengubah suai meter apabila pada masa itu meternya dipercayai disyaki sengaja merosakkan meter bertujuan memusnahkan bukti ubah suai meter.

Susulan kes terbaharu itu, SESCo dan polis tidak menolak kemungkinan wujud sindiket penipuan meter berkaitan pelanggan berkenaan di Sibu dan bahagian-bahagian lain di Sarawak.

“Penemuan awal menunjukkan pelanggan ini (pemilik rumah) berkaitan rapat dengan sindiket ubah suai meter. Kita akan berkongsi maklumat ini dengan pihak-pihak berkenaan dan menyiasat kes ini lebih lanjut,” ujarnya.

Mencuri elektrik bukan sekadar jenayah, tetapi turut membahayakan nyawa dan harta benda.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara hingga lima tahun atau denda RM 100,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama, SESCo menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan pihak yang mendakwa kegiatan ubahsuai meter tidak dapat dikesan oleh SESCo.

Menurutnya, pengubahsuaian memerlukan mereka membuka meter, sekali gus merosakkan pelekat keselamatan dan seterusnya mudah dikesan oleh pasukan pemeriksa meter SESCo.

“Selain itu, SESCo kini menggunakan meter mempunyai ciri-ciri lebih canggih bagi mengesan kecurian elektrik. Apa-apa percubaan membuka meter akan menyebabkan meter mengeluarkan bunyi amaran untuk membolehkan pasukan pemeriksa meter bertindak,” katanya.

Malah, ciri-ciri pintar meter itu membolehkan SESCo memantau dari jauh penggunaan elektrik.

SESCo menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan pihak yang menawarkan khidmat mengubahsuai meter untuk melaporkannya dengan menghubungi 082-443535.

Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.