Terlalu ramai pekerja asing di Malaysia

0

RASMI: Riot (tengah) bersama tetamu lain melakukan simbolik perasmian Program Penempatan Pekerjaan Azam Kerja Peringkat Negeri Sarawak. — Gambar Jeffery Mostapa

Jumlah 5.8 juta wajar dikurangkan bagi beri lebih peluang kepada pekerja tempatan

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Jumlah pekerja asing di Malaysia yang kini mencecah 5.8 juta orang sepatutnya dikurangkan bagi memberi lebih banyak peluang kepada anak tem­patan bekerja.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata sekarang terdapat 2.9 juta pekerja asing mempunyai permit manakala selebihnya bekerja di negara ini secara haram.

“Ini menunjukkan setiap seorang pekerja asing yang mempunyai permit terdapat seorang pekerja yang tidak mempunyai permit.

“Keadaan ini menyebabkan bilangan pekerja asing di selu­ruh negara mencecah 5.8 juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penempatan Peker­jaan Azam Kerja Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan semalam.

Menurut Riot, kemente­riannya menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan memberi keutamaan kepada anak tempatan untuk bekerja dalam setiap cabang pekerjaan di negara ini.

“Setiap cabang pekerjaan, kita akan utamakan rakyat Malaysia terlebih dahulu, kemudian baharulah pekerja asing,” ujarnya.

Setakat ini katanya, Ma­laysia memiliki 14.8 juta orang tenaga kerja dan dari­pada jumlah itu 1.4 juta orang merupakan penjawat awam.

Sementara itu, beliau ber­kata rekod JTK Sarawak menunjukkan sehingga Ogos tahun ini, terdapat 34,561 pencari kerja aktif di negeri ini.

“Daripada jumlah ini, 12,007 (34.7 peratus) adalah golongan siswazah manakala bilangan jawatan kosong yang terdapat di Sarawak berjum­lah 50,167 kekosongan,” jelasnya.

JTK Sarawak juga katanya telah menganjurkan 23 pro­gram penempatan pekerjaan yang melibatkan 6,115 orang termasuk Program Penem­patan Pekerjaan Azam Kerja Peringkat Negeri Sarawak yang bermula semalam dan berakhir hari ini.

“Saya berharap sekurang-kurangnya suku daripada golongan pencari kerja men­dapat pekerjaan,” kata Riot.