Wanita dinasihati peka perkembangan kesihatan diri

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa menasihati golongan wanita luar bandar agar sentiasa peka perkembangan kesihatan diri mereka.

Katanya ini berikutan ramai wanita luar bandar masih belum peka perkembangan  kesihatan disebabkan kekurangan pendedahan tentang pentingnya menjaga kesihatan.

“Misalnya, golongan wanita berusia 40 tahun ke atas perlu membuat pemeriksaan bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit seperti kanser pangkal rahim atau payu dara.

“Wanita perlu menjaga kesihatan mereka dan saya memohon agar rajin menghadirkan diri pada program kesihatan di kawasan masing-masing,” katanya pada Program MEMBARA Jalinan Wanita di Balai Raya Skim Skrang, Engkilili semalam.

Program itu mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Lubok Antu, Klinik Kesihatan Desa Skim Skrang dan Biro Wanita Skim Skrang.

Dr Rayong menggalakkan penduduk agar mematuhi saranan Jabatan Kesihatan untuk memastikan kawasan penempatan masing-masing bebas ancaman penyakit.

Menurutnya, penduduk luar bandar harus memastikan penempatan mereka bebas  sarang pembiakan nyamuk aedes kerana ia punca serangan wabak demam denggi.

“Dapatkan nasihat pegawai kesihatan berhubung perkara ini dan jangan membuang sampah sembarangan yang boleh menakung air kerana perbuatan itu boleh menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Turut hadir Pegawai Perubatan Lubok Antu Dr Drend dan Penyelia JASA Parlimen Lubok Antu Geoffery Baja Ricky Maba serta ketua-ketua masyarakat.