Aksi Futsal Piala Sarawak di Sarikei pada 1-3 Oktober

0

KUCHING: Futsal KPS Piala Sarawak 2014 Peringkat Negeri akan berlangsung pada 1 hingga 3 Oktober ini di Kompleks Sukan Sarikei.

Sarikei selaku tuan rumah diwakili Sarikei A dan Sarikei B manakala pasukan lain mengambil bahagian termasuk Kuching, Samarahan dan Sri Aman.

Turut mengambil bahagian ialah pasukan Betong, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Pada edisi lalu di Bintulu, Kuching muncul juara kategori lelaki dan wanita.

Pertandingan itu adalah landasan terbaik mencungkil bakat baharu mewakili Sarawak termasuk pada Sukan Malaysia (SUKMA).

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Pemenang kedua meraih wang tunai RM1,500, piala iringan dan pingat manakala ketiga menerima wang tunai RM1,000 dan pingat.

Tempat keempat pula akan memenangi wang tunai RM500.

Penjaring gol terbanyak, pemain terbaik dan ‘fair play’ untuk pasukan memenangi trofi dan sijil masing-masing.

Majlis pembukaan rasmi dan sepak mula dijangka disempurnakan Residen Bahagian Sarikei, Dahim Nadot pada 1 Oktober ini, jam 8 pagi.

Manakala Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan melakukan penutupan dan penyampaian hadiah pada 3 Oktober, jam 7.30 malam.