Kelindan mati tersepit

0

Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Seorang kelindan lori maut setelah lori tiga tan yang dinaiki bersama seorang rakan merempuh bahagian belakang sebuah lori lain yang diletakkan di tepi jalan dalam kemalangan di KM50 Jalan Pesisir Pantai berhampiran simpang Kampung Kelulit, Bekenu pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Harrison Ding Uvang, 24, dari Long Naah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Manakala pemandu lori, Anthony Nojau, 43, cedera di bahagian muka dikejarkan ke Hospital Miri dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan segera.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Katanya sebelum kejadian sekitar jam 11 pagi kedua-dua mangsa menaiki sebuah lori tiga tan sambil membawa muatan racun rumput sedang dalam perjalanan dari Miri menuju ke Batu Niah.

Setibanya di tempat kejadian, pemandu lori terbabit dipercayai cuba mengelak tanda segi tiga kecemasan yang diletakkan beberapa meter di belakang sebuah lori 10 tan yang berhenti di tepi jalan dengan masuk ke laluan bertentangan namun tidak berjaya lalu melanggar belakang lori tersebut.

“Akibat perlanggaran itu, lori mangsa terperosok di bawah lori 10 tan menyebabkan kelindan lori tersepit di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya.

Menurut pemandu lori 10 tan dikenali Intan Jelau, 49, dari Sungai Keleku, Niah, sebelum kejadian dia yang membawa muatan pasir dari Kuala Baram ke Niah memberhentikan kenderaannya di tepi jalan untuk membantu seorang rakan yang juga pemandu lori menukar tayarnya yang pancit.

“Ketika sedang menukar tayar lori kawan, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan serentak itu menoleh ke arah lori saya yang diletakkan beberapa meter di belakang.

“Tidak lama kemudian muncul seorang pemandu lori lain di hadapan saya dengan keadaan muka berdarah menyebabkan saya hampir pengsan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Intan, setelah memberhentikan kenderaannya di tepi jalan dia turut meletakkan tanda segi tiga kecemasan sebagai amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

Difahamkan, mangsa dipercayai memandu laju terkejut apabila tiba-tiba ternampak tanda segi tiga kecemasan diletakkan beberapa meter di belakang lori itu dan cuba mengelak daripada melanggar tanda kecemasan dan lori tersebut dengan masuk ke laluan bertentangan.

Ketika cuba memintas lori itu, pemandu lori tiga tan mungkin ternampak sebuah kenderaan lain datang dari arah bertentangan menyebabkan dia masuk semula ke laluannya dan terbabas sebelum melanggar belakang lori 10 tan.

Berikutan itu, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk bedah siasat.

NGERI: Lori mangsa terperosok di belakang lori 10 tan dalam kemalangan berlaku di KM50 Jalan Pesisir Pantai berhampiran simpang Kampung Kelulit, Bekenu pagi semalam.

BANTUAN: Beberapa anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduknya.