Pemain hoki Miri berjaya tampil permainan bermutu

0

KUCHING: Sekadar berlatih di atas padang bola keranjang Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri, pemain hoki dari Bahagian Miri tetap berjaya menampilkan permainan bermutu.

Malah, pasukan Warrior Hockey Club yang mewakili Miri masih mampu menyertai pertandingan yang dilangsungkan di luar Miri termasuk di Kuching dan Bintulu.

Ketika ini pasukan tersebut sedang menyertai Kejohanan Hoki 9 Sebelah Terbuka B14 di SMK Weston Beaufort, Sabah.

Sebanyak enam pasukan wanita menyertai kejohanan tersebut termasuk Warrior Hoeckey Club.

Jurulatih Warrior Hockey Club, Rudi Naziri berkata ketiadaan padang hoki di Miri tidak menghalang anak-anak buahnya untuk menampilkan prestasi memberangsangkan.

Sehubungan itu, beliau berharap Menteri Muda Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin dapat membantu membina padang hoki di Miri.

“Kita sekarang hanya berlatih di atas padang bola keranjang. Namun, pemain-pemain kita masih mampu menampilkan permainan berkualiti.

“Saya berharap Datuk Lee dapat membantu merealisasikan impian kita untuk memiliki padang hoki di Miri,” katanya.

Sebelum ini, Warrior Hockey Club melakar sejarah apabila menyapu bersih tiga kategori dipertandingan pada Kejohanan Hoki Terbuka UPMKB 5 Sebelah berlangsung di Bintulu.

Warrior Hockey Club memenangi kategori lelaki terbuka, kategori sekolah/kolej dan wanita.

Terbaru, Warrior Hoeckey Club menyertai kejohanan hoki sempena Pesta Pulau Pinang pada 4 hingga 7 Disember depan.