10 permis perniagaan musnah termasuk empat kedai emas

0

Oleh AMIR ANUAR //

TAWAU: Sebuah bangunan lama kedai dua tingkat di Bandar Tawau terjejas teruk dalam kebakaran melibatkan 10 premis perniagaan musnah termasuk empat kedai emas dan pajak gadai.

PASUKAN Bomba dan Penyelamat bertungkus-lumus memadam api daripada terus merebak ke premis dan bangunan berhampiran.

Kejadian kebakaran itu berlaku kira-kira jam 11.45 malam Isnin lalu semasa kesemua peniaga dan pekerja mereka sudah pulang ke kediaman masing-masing.

Utusan Borneo yang turut berada di lokasi kejadian difahamkan bangunan lama itu menempatkan 20 premis dan pelbagai jenis premis perniagaan.

Antaranya kedai pakaian, toko, barang keperluan harian selain lapan premis pajak gadai, emas dan penukaran wang asing namun 10 premis lagi berjaya diselamatkan daripada turut musnah.

Seorang pekerja di salah sebuah kedai emas dan jam tangan, Marnisah Machita, 26, berkata, kesemua barang di kedai musnah termasuk jam tangan yang berjenama mahal.

“Semasa kami tiba, premis tempat saya bekerja sudah musnah dan tidak ada yang dapat diselamatkan kerana api sudah merebak ke dalam premis,” katanya di sini kelmarin.

Marnisah mendapat tahu mengenai kejadian itu daripada adiknya sebelum bergegas ke bandar dari Jalan Utara dan memaklumkan majikannya mengenai insiden yang berlaku.

Rakan Marnisah, Rafidah Amir, 21, pula berkata, api merebak dengan pantas dan semasa tiba di lokasi kejadian api dilihat sudah memusnahkan premis tempat kerjanya.

“Selepas memberitahu keluarga, majikan dan kawan-kawan sekerja, saya terus ke bandar tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana premis itu sudah musnah,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Rudy Fredzex berkata, seramai 36 pegawai dan anggotanya dikerahkan sebaik menerima panggilan pada jam 11.54 malam.

Menurut Rudy, tujuh pintu di bangunan itu sudahpun musnah semasa ketibaan mereka dan pasukannya cuba sedaya upaya untuk mengelak api daripada terus merebak.

“Kita segera bertindak untuk memastikan kebakaran itu tidak menyebabkan kerugian yang lebih besar dan merebak ke bangunan-bangunan berhampiran.

“Risiko kebakaran merebak juga ada kerana terdapat sebuah stesen minyak dan Pasar Tanjung di hadapan bangunan yang terbakar,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 1 pagi dan siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti jumlah kerugian serta punca kebakaran.

Turut hadir memberikan bantuan adalah 25 anggota polis, Sabah Electricity Sdn Bhd (dua orang), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (lapan), Rela (tiga) dan hospital (dua).

Menyentuh hal berkaitan, Pengerusi Warisan Sejarah Tawau (Pewaris Tawau/ Discover Tawau) Azlan Lauddin Martin berkata bangunan itu antara bangunan tertua di pusat bandar.

Azlan berkata, pembinaan bangunan itu juga dilakukan sekitar awal 1960-an selepas berlakunya insiden kebakaran terbesar di Tanjong (Bandar Tawau) pada 1953.

“Sudah tentu ini satu khabar yang menyedihkan kerana bangunan ini mempunyai nilai sejarah dan menyimpan memori berharga buat kita di kalangan warga Tawau,” katanya.