Alternatif raih diploma prasekolah

0

Oleh Jessica Jawing //

UPSI kini tawar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Sarawak

KUCHING: Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini ditawarkan di negeri ini sebagai alternatif kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

Program baharu di negeri ini oleh UPSI itu bukan sahaja khas kepada guru-guru prasekolah yang belum mempunyai kelayakan diploma, tetapi juga kepada pelajar lepasan SPM dan STPM.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata, program itu ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai guru prasekolah dengan kelayakan diploma.

“Dengan inisiatif ini juga, ia menjadikan lebih ramai guru atau anak tempatan dilatih di sini untuk melanjutkan pengajian pendidikan awal kanak-kanak.

“Kita juga melihat ini sebagai peluang kepada guru prasekolah sedia ada mendapat latihan yang sudah ‘di depan rumah’,” ujarnya pada sidang media selepas menerima rombongan daripada UPSI Holding Sdn Bhd (UHSB), anak syarikat UPSI yang menjalankan program terbabit.

Jelas Rosey, program tersebut kini sudah mendapat permohonan daripada bahagian tengah Sarawak, iaitu di Sibu sekali gus menjadi alternatif kepada mereka yang tidak diterima masuk ke UPSI di Tanjung Malim, Perak.

Tambah beliau, buat masa ini program masih dalam peringkat promosi dan akan dilaksanakan sebaik sahaja permohonan mendapat sambutan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi UHSB Dr Abdul Raheem Mohamad Yusof berkata, program berkenaan telah dijalankan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan kini sudah tiba masanya untuk Sabah serta Sarawak.

“Di Sarawk kita mahu memperkembangkan program di beberapa bandar utama iaitu Sibu, Kuching, Miri dan Bintulu.

“Kita telah menerima permohonan lebih kurang 70 pemohon di Sibu dan setiap kohort mengambil 40 pelajar sahaja,” katanya.

Beliau memberitahu, UPSI akan menempatkan tenaga pengajar terlatih kepada pelajar diploma pendidikan awal kanak-kanak mereka di negeri ini, sementara segala kertas peperiksaan atau tugasan disediakan oleh Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, UPSI di Tanjung Malim.

Menurutnya, langkah untuk memperkembangkan program itu di setiap negeri dilaksanakan kerana program pendidikan awal kanak-kanak UPSI mendapat sambutan yang memberangsangkan di kampusnya.

“Kami menerima permohonan 10,000 setiap pengambilan bagi diploma pendidikan awal kanak-kanak di kampus UPSI sedangkan kami hanya boleh mengambil lebih 100 pelajar sahaja,” jelasnya.

Mengenai waktu kelas diploma itu nanti, Abdul Raheem berkata ia diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad selama 14 minggu.

Sehubungan itu, bagi pelaksanaan di Kuching mereka yang berminat boleh mengunjungi Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri di Jalan Bako pada 12 Oktober ini, jam 10 pagi.

Maklumat lanjut juga boleh menghubungi Mohd Hajat Saifullah Nahar menerusi talian 013-4772048 atau Mohd Hanif Jamsari (013-530 2440) dan borang permohonan boleh dimuat turun dari lama sesawang http://upsiholdings.upsi.edu.my.