Batang paip umpama ‘perhiasan’

0

Bekalan air bersih kerap tiada, penduduk terpaksa guna sungai keruh

TIADA PILIHAN: Sungai Mapai yang sudah keruh menjadi sumber kegiatan harian dan minuman penduduk kerana tidak ada pilihan lain.

KANOWIT: Sungai keruh menjadi sumber bukan sahaja untuk minuman tetapi kegiatan harian lain, walaupun sudah mempunyai bekalan air paip bersih, demikian rintihan penduduk kampung di sekitar Mapai di sini.

Mereka mendakwa walaupun bekalan air paip sudah disambung ke kebanyakan rumah panjang mereka, ternyata ia seperti ‘perhiasan’ sahaja, memandangkan bekalan air sentiasa tidak ada.

Antara penduduk yang terjejas ialah penduduk Rumah Sandai di Sungai Mapai, Jalan Nibong-Tada, yang mempunyai 46 pintu (keluarga) yang mana mereka terpaksa bergantung kepada sungai keruh itu sebagai sumber air.

Bukan sahaja menjadikan sungai untuk kegiatan harian tetapi mereka juga terpaksa menjadikan ia sebagai sumber minuman.

Disebabkan tidak ada banyak pilihan lain selain menggunakan sumber sungai, ada di kalangan penduduk turut membeli air dari rumah panjang lain sebagai alternatif kepada mereka.

“Kami menjadikan sungai yang keruh dan tempat membuang sampah ini sebagai sumber bagi kegiatan harian seperti mandi, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk, walaupun bekalan air paip ada.

“Namun sumber air dari paip amat berkurangan atau malahan tidak ada air langsung.

“Kami terpaksa menggunakan air simpanan, bagaimanapun ia tidak lama kerana akan kosong terutama pada musim kemarau,” kata seorang penduduk kampung berkenaan.

Jelasnya lagi, mereka juga sebelum ini pernah membuat aduan kepada Lembaga Air Sibu berhubung masalah bekalan air terbabit, namun sehingga kini masih belum ada tindakan.

Bukan sahaja pada hari-hari biasa, ketiadaan bekalan air sering berlaku pada musim perayaan atau ada majlis-majlis diadakan atau ada acara besar lain.

“Sekarang ini apa yang membimbangkan kami apabila kami menyimpan air hujan ia dikhuathiri dicemari kencing tikus atau penyakit-penyakit lain.

“Malahan pernah juga berlaku sakit cirit-birit berlaku kepada penduduk rumah panjang kerana air yang tercemar,” katanya.

Bukan sahaja penghuni Rumah Sandai, tetapi kekurangan bekalan air itu turut berlaku di Rumah Awin, Rumah Selunggang serta beberapa penduduk sekitar Mapai.

Mereka berharap insiden sedemikian dapat ditangani memandangkan air amat diperlukan terutama untuk kegiatan harian.