Betong sedia bersaing Futsal Piala Sarawak

0

BETONG: Dengan misi untuk mengungguli kejohanan futsal, Betong tampil dengan barisan muda menyertai Kejohanan Futsal KPS Piala Sarawak Peringkat Negeri di Sarikei bermula 1 hingga 3 Oktober ini.

Pegawai Penguasa, Pejabat Pembangunan Sosial (PPS) Betong, Awang Mazelan Awang Majid berkata penyertaan kali ini melibatkan pasukan lelaki dan wanita dilihat mampu bersaing dengan mana-mana pasukan di negeri ini berdasarkan pengalaman dan kemahiran dimiliki pemain.

“Begitupun, kami berharap kedua-dua pasukan berjaya melangkah ke peringkat akhir memandangkan persiapan rapi kedua-dua kategori bagi menghadapi kejohanan tersebut.

“Kita memberi ruang kepada kedua-dua pasukan mempersiapkan pemain yang benarbenar berkeyakinan untuk penampilan kali ini dengan mendapat khidmat dan pengalaman, Ismail Mohamad sebagai jurulatih pasukan lelaki manakala pasukan wanitanya dibimbing Abang Busri Abang Morni,” katanya pada penyerahan bendera KPS untuk pasukan futsal lelaki dan wanita di Kompleks Sukan Betong semalam.