Elak terpengaruh dengan trend moden

0

LAWAS: Golongan remaja diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan trend moden yang melanda negara pada masa kini sehingga menganggap nilai tradisi sebagai ‘kolot’ dan ketinggalan zaman.

Pegawai Daerah Lawas, Hussaini Hakim berkata tidak salah mereka menguasai ilmu dan kemahiran dalam arus kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) tetapi harus bijak menggunakan kemahiran tersebut untuk tujuan baik.

Menurutnya, golongan remaja tidak boleh lari daripada arus perubahan dan modenisasi tetapi perlu tahu membezakan elemen negatif yang dibawa kemudahan tersebut.

“Jika kita tidak bijak memilih dan menggunakan kemudahan ini secara berhemah boleh membawa pengaruh negatif kepada kita termasuk penipuan atau meletakkan kepercayaan penuh kepada apa yang kita temui dalam Internet,” katanya.

Hussaini berkata demikian pada Majlis Penangguhan Program Nur Sejahtera Remaja Daerah Lawas 2014 anjuran Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWKM) Parlimen Lawas, di Pusat GIATMARA Sundar kelmarin.

Turut sama Pengerusi MPWKM Lawas Datin Sri Mariam Balan, Timbalan Pengerusi MPWKM Lawas Kaunselor Aisah Bahar, Pengerusi GIATMARA Lawas, Hanafi Abdul Rahman serta jemputan lain.

Hussaini berkata, remaja juga sering berdepan krisis kecelaruan identiti akibat kejutan budaya.

“Keadaan ini menyebabkan remaja mudah terikut-ikut dengan trend berpakaian, cara pergaulan dan perwatakan yang tidak selari dengan nilai tradisi sehingga menghakis identiti bangsa Malaysia yang dikenali dengan kekayaan budi bahasa, adab susila dan nilai kesopanan,” ujarnya.

Katanya, oleh sebab itu banyak berlaku dalam media sosial yang dijadikan golongan tertentu sebagai medan memfitnah, mencaci, tempat menunjuk-nunjuk siapa hebat, saluran untuk menghentam dan mengaibkan orang.

“Ini mungkin sebagai cara melepas geram, tetapi kesannya boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menjejaskan keharmonian di negara ini,” kata beliau.

Jelasnya, arus modenisasi secara global boleh mempengaruhi cara hidup masyarakat dari amalan baik kepada menjauhi nilai agama, moral dan etika diamalkan.

Beliau berkata pengaruh material, dadah, perjudian dan keinginan memiliki sesuatu  mendorong remaja terlibat dengan gejala sosial.

“Ketagihan dadah serta keinginan bergaya dan perjudian menyebabkan mereka sering mencari jalan mendapatkannya dengan mencuri, meragut, menipu, pecah rumah dan gejala sosial lain,” katanya.

Malah, kematangan remaja masih rendah dalam membuat penilaian adalah punca golongan remaja gagal membuat keputusan selamat dan wajar.

“Justeru, institusi keluarga memainkan peranan penting sebagai pelindung dan pembimbing terbaik golongan remaja dalam mendepani cabaran luar,” katanya.