Iklan pujuk belian segera selepas GST dikuat kuasa mungkin hadapi tindakan

0

SIBU: Peniaga yang meletakkan iklan termasuk pemasangan sepanduk dengan tujuan memujuk pembelian segera selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan berisiko berdepan tindakan tegas.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sibu yang baharu Kasim Mana berkata, tindakan seperti itu boleh mengelirukan pengguna.

“Tindakan boleh diambil di bawah Akta Perihal Dagangan dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM250,000 atau hukuman penjara tiga tahun atau kedua-duanya dan RM500,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujar beliau kepada pemberita.

Beliau turut mendedahkan, 86 kes pelbagai kesalahan telah direkodkan dari bulan Januari hingga kelmarin.

Selain itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis barangan yang dianggarkan bernilai RM945,807.

Ketika menyentuh mengenai ‘Ops Harga,’ Kasim memberitahu sebanyak 49 kes telah direkodkan dan memberi jaminan akan terus melancarkan pelbagai operasi selain mengadakan kerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain.

Selain itu, katanya, KPDNKK juga akan mengadakan pelbagai program untuk mewujudkan kesedaran selain memelihara hak di kalangan pengguna.

Ini termasuk bercadang untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu aktiviti setiap bulan.

Bercakap lanjut, Kasim memberitahu pihaknya meletakkan dua buah penimbang di Kaunter Pasar Tamu Sibu.

Kemudahan itu disediakan kepada pengguna untuk mengesahkan berat barangan mereka.

Terdapat dua kakitangan KPDNKK ditempatkan di kaunter berkenaan setiap hari dari jam 7 pagi hingga 1 tengah hari.