Jumlah penyertaan terbesar

0

Oleh Harry Ilias //

Setakat ini seramai 5,904 sertai Larian Amal Monster Dash 2.0 yang berlangsung Sabtu ini

KUCHING: Larian Amal Monster Dash 2.0 yang akan berlangsung di Le’ Park, Dewan Suarah Kuching Sabtu ini bakal mencatat jumlah penyertaan terbesar dengan seramai 5,904 peserta mendaftar setakat ini.

JOM SERTAI KAMI: Patrick (tiga kanan), Sim (dua kiri) dan Poh (kanan) memperagakan baju-T dan kasut rasmi Larian Amal Monster Dash 2.0 di Kuching semalam.

Pengasas OurYouth.my, Datuk Patrick Liew yang juga penganjur larian tersebut berkata, beliau yakin jumlah itu akan mencecah 6,000 peserta dalam sehari dua ini kerana ramai lagi masih berminat untuk menyertainya.

“Pada tahun lalu, kita hanya mencatat penyertaan seramai 2,000 peserta. Jumlah itu meningkat tiga kali ganda pada tahun ini menjadikan larian ini terbesar pernah kita anjurkan setakat ini.

“Ini jelas menunjukkan masyarakat di sini terutamanya golongan remaja amat berminat dengan aktiviti riadah seperti ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Lea Sports Centre, Raymond Sim dan Pengurus Besar Sara Urusharta, Alan Poh.

Menurut Patrick, selain menjadi wadah bersosial dengan cara yang sihat larian itu juga memberi peluang kepada para peserta beramal dan memupuk budaya sayangmenyayangi.

“Ini kerana hasil kutipan derma larian itu akan disalurkan kepada tiga badan amal iaitu Sarawak Children’s Canser Society (SCCS), The Society for Critically Sick Kids (SOS Kids) dan Kuching & Samarahan Division Cerebral Palsy Association,” jelasnya.

Patrick merakamkan penghargaan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang memberi sokongan padu terhadap larian tersebut.

Sementara itu, Sim berharap OurYouth.my akan menjadikan Larian Amal Monster Dash sebagai aktiviti tahunan mereka.

Katanya, peningkatan jumlah penyertaan membuktikan masyarakat di sini sangat meminati aktiviti sihat seumpama itu dan harus diteruskan pada masa akan datang.

Larian sejauh lima kilometer itu bermula di Le’ Park, Dewan Suarah Kuching jam 7 malam.

Seperti edisi tahun lalu, peserta perlu mengenakan pakaian ala ‘zombie’ sempena sambutan perayaan ‘Halloween’ pada bulan ini.

Seramai 1,000 peserta terawal juga boleh membeli kasut keluaran istimewa Lea Sports Centre bagi larian tersebut dengan potongan harga 50 peratus.