Kegiatan korek pasir haram tumpas

0

SARIKEI: Kegiatan mengorek pasir dipercayai tidak memiliki dokumen sah berjaya ditumpaskan oleh pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PMW5) Sarikei di sini petang kelmarin.

TUMPAS: Anggota PMW5 Sarikei menunjukkan rampasan termasuk muatan pasir, kapal tongkang dan kren yang dirampas dalam Operasi Risikan petang kelmarin.

Komander PMW5 ACP Kalai Chelvan berkata, kegiatan itu dikesan dalam Operasi Risikan di kawasan Tanjung Kunyit, Muara Lebaan, Batang Rajang hasil maklumat orang awam.

Dalam operasi tersebut, sebuah kapal tongkang dianggarkan bernilai RM1.5 juta, sebuah kren jenis Rustion Bucrus bernilai RM300,000 dan muatan pasir bernilai RM5,000 dirampas.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.85 juta. Kesalahan mengorek pasir tanpa dokumen dan lesen sah disiasat di bawah Kanun Tanah Negeri,” ujarnya di sini semalam.

Menurutnya, kegiatan itu dikesan pada jam 3.30 petang kelmarin ketika pihaknya menjalankan pemantauan di kawasan terbabit dengan bot Samaran 1 PMWS5 diketuai ASP Muhammad Sallam Spawi bersama empat anggota.

“Semua rampasan dan tahanan terdiri daripada seorang juragan warga tempatan serta tiga pekerja tongkang iaitu seorang warga tempatan dan dua pekerja asing diserahkan kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Sibu untuk tindakan lanjut,” jelasnya.