Kerajaan komited percepat bangun ubat baharu

0

Oleh Jessica Jawing //

MoA dimeterai untuk memudahkan Pelaksanaan Ujian Klinikal dalam Industri tajaan hospital kerajaan

RASMI: Dr Shahnaz (dua kanan) yang mewakili Dr Subramaniam diiringi Pengarah Pusat Penyelidikan Klinikal Kebangsaan Dr Goh Pik Pin (kanan), Ketua Penyelidikan Klinikal HUS Dr Alan Fong (kiri) serta yang lain merasmikan NCCR Ke-8 di Kuching, semalam. — Gambar Jeffery Mostapha

KUCHING: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) komited terhadap usaha mempercepatkan pembangunan ubatan-ubatan baharu dan lebih berkesan dalam industri perubatan di negara ini.

Ia dibuktikan dengan Memorandum Perjanjian (MoA) yang diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramanian semalam iaitu di antara Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) MOH dan Quintiles Malaysia Sdn Bhd, penyedia terbesar di dunia dalam pembangunan biofarmaseutikal dan perkhidmatan sumber komersil.

MoA berkenaan adalah Perjanjian Perkhidmatan Penyelidikan Klinikal untuk Memudahkan Pelaksanaan Ujian Klinikal dalam Industri yang ditaja hospital kerajaan.

“Dalam MoA ini, tujuh hospital di bawah MOH akan menyertai Program Tapak Perdana Quintiles, iaitu satu inisiatif global yang memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pembangunan ubatan baharu dan lebih berkesan melalui kerjasama dengan institusi perubatan terkemuka.

“Perkongsian ini akan memudahkan pendaftaran yang cekap kepada sukarelawan untuk ujian klinikal dan pelaksanaan ujian tersebut dengan lebih kualiti,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidik dan Sokongan Teknikal) Dr Shahnaz Murad ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan bagi Penyelidikan Klinikal (NCCR) Ke-8 di sini, semalam.

Dr Subramaniam berkata, perjanjian itu menyeru pihak terbabit untuk bekerjasama bagi mewujudkan hubungan kukuh dengan penyelidik dan kakitangan selain memperkenalkan inovasi serta prose pengurusan tapak.

Jelas beliau, ia mendorong tahap kecekapan serta kualiti yang akan mengubah kelakuan ujian klinikal untuk lebih baik dan ia akan memainkan peranan membantu Malaysia mencapai sasaran 1,000 ujian klinikal berterusan pada tahun 2020.

“Kita teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan Quintiles ke peringkat yang lebih jauh dalam memperkembang serta mengukuhkan lagi penyelidikan klinikal di Malaysia bagi menyelamatkan lebih ramai nyawa di sini dan seluruh dunia,” jelasnya.

Tujuh hospital yang terlibat dalam kerjasama berkenaan ialah Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kota Bharu), Hospital Raja Permaisuri Bainun (Ipoh), Hospital Sibu, Hospital Sultanah Ampuan Rahimah (Klang) dan Hospital Umum Sarawak (HUS).

Mengulas mengenai CRM, kata beliau, ia telah ditubuhkan sebagai entiti perniagaan yang diperbadankan pada 2012 bagi membolehkan urus niaga perdagangan serta aliran perniagaan untuk fungsi komersil Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) kementerian.

“CRM akan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi penyelidikan klinikal berprestasi dan berkualiti tinggi di rantau ASEAN. Ia bertujuan menjana pelaburan langsung asing dalam usaha mencapai sasaran iaitu RM578 juta dan mewujudkan 1,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2020,” katanya.

Berhubung Quintiles, Dr Subramaniam memberitahu ia menghimpunkan lebih 30,000 pekerja menjalankan perniagaan di lebih 100 buah negara.