Kerajaan sasar kurangkan indeks kematian kepada dua orang setiap 10,000 kenderaan

0

BENTONG: Kementerian Pengangkutan yakin sasaran untuk mengurangkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya kepada dua orang bagi setiap 10,000 kenderaan menjelang tahun 2020 dapat dicapai.

BERGAYA: Liow (kanan) mencuba motor peronda Polis Trafik ketika merasmikan Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya kepada para pelajar Daerah Bentong di Bentong semalam. — Gambar Bernama

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam berkata keyakinan itu berdasarkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya bertambah baik dalam masa 10 tahun iaitu di antara tahun 2004 sehingga 2013 apabila indeks kematian 4.51 orang bagi setiap 10,000 kenderaan pada tahun 2004 berkurangan kepada 2.9 orang pada lepas tahun.

Liow berkata kementerian juga berharap dapat mengu-rangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus atau 5,358 kes iaitu daripada 10,716 kes yang dijangka berlaku pada 2020.

“Mengikut trend, angka kematian dijangka meningkat menjelang tahun 2020 iaitu sebanyak 10,716 kes, namun jika kita mengambil langkah-langkah proaktif termasuk mendedahkan kanak-kanak dengan kempen keselamatan dan kesedaran jalan raya, kita akan dapat capai sasaran untuk mengurangkan jumlah kematian.

“Kita juga dapat menurunkan indeks kadar kematian melalui program kesedaran yang berterusan, penguatkuasaan undang-undang trafik dan pelbagai program yang dianjurkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di mana JKJR telah memperkenalkan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk mengurangkan kemalangan dan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya bagi sekolah rendah dan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong di sini.

Liow berkata statistik juga menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang utama kemalangan maut di mana daripada 6,000 kematian di jalan raya pada tahun lepas, 4,294 kes melibatkan penunggang dan pembonceng. — Bernama