Keunikan spesies burung jadi produk pelancongan S’wak

0

KUCHING: Kebanjiran ratusan spesies burung terancam dan unik di Taman Negara Kubah serta Borneo Highland Resort (BHR) berpotensi besar untuk dijadikan produk pelancongan baharu Sarawak.

Bagaimanapun, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Negeri Datu Ik Pahon Joyik, berkata pihaknya masih dalam usaha mengkaji lebih banyak lokasi strategik lain untuk dibangunkan bagi tujuan tersebut.

“Kita di Sarawak mempunyai potensi untuk membawa segmen pelancongan jenis ini. Secara tidak langsung ‘Borneo Bird Race’ adalah sebagai satu platform untuk mendedahkan kepada dunia luar bahawa kita juga mempunyai banyak spesies burung.

“Lagipun, aktiviti melihat burung memang amat unik, ia memerlukan minat dan kesabaran yang mendalam seperti hobi memancing,” ujarnya menemui para peserta ‘Borneo Bird Race’ Kedua 2014 di BHR, kelmarin.

Ik Pahon berkata, Sabah telah memulakan bidang itu pada tahun lepas bersama Brunei, justeru Sarawak tidak mahu melepaskan peluang mempamerkan lebih banyak jenis dan spesies burung yang terdapat di sini.

Seperti di Thailand, ia sudah menampakkan kejayaan dalam menarik minat ramai pelawat hanya untuk mengambil gambar burung-burung berkenaan, jelasnya.

Tambah beliau, BIMP-EAGA yang terdiri daripada Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina pada mulanya telah bersetuju mengadakan aktiviti ekopelancongan yang menggabungkan wilayah di Kepulauan Borneo.

Justeru, ‘Borneo Bird Race’ Kedua 2014 yang diadakan dari 24 September sehingga 3 Oktober menyaksikan Filipina berjaya mengumpul sejumlah 65 spesies burung sekali gus dinobatkan sebagai juara bagi tahun ini.

Lokasi BHR, jelasnya, mempunyai lebih kurang 200 spesies burung yang diputuskan pada mesyuarat penyelarasan pelancongan antara Sabah dan Sarawak dan BIMP-EAGA yang lepas.

Katanya, pihaknya kini melihat kemungkinan potensi Lambir atau Lawas sebagai tapak pilihan untuk melakukan aktiviti yang sama pada masa hadapan.

“Ia akan kita dijalankan setiap tahun secara bergilir di antara Sabah, Sarawak dan negara Brunei, iaitu satu cara untuk mempromosikan kepulauan Borneo.

“Sekiranya tahun hadapan negara jiran Indonesia berminat, kita akan menjemput mereka melalui BIMP-EAGA untuk berkecimpung,” jelasnya.

Turut hadir Pengerusi STB Datuk Rashid Khan dan Presiden Sandakan Borneo Bird Club Cede Prudente.