Majlis Anugerah KIK sasar penambahbaikan mapan

0

Oleh Henrietta Liza //

Idea pengamal KIK diharap dapat membantu selesai masalah di tempat kerja, puaskan hati pelanggan

KUCHING: Majlis Anugerah Konvesyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Sambutan Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2014 menyasarkan penambahbaikan mapan dalam perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, sebanyak 11 kumpulan dari kategori pengurusan dan sembilan kumpulan dari kategori teknikal menyertai pertandingan itu nanti.

“Ia bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pengamal KIK selain memberi peluang kepada persembahan mereka untuk dinilai atau dipertandingkan pencapaiannya.

“Projek yang dihasilkan itu nanti dapat membantu dalam menyelesaikan masalah di tempat kerja yang menjurus kepada kepuasan pelanggan.

“Selain, ia dapat menyemai kepada budaya penambahbaikan serta penciptaan idea baharu dalam penghasilan kerja yang optimum secara berterusan,” katanya ketika mempengerusikan sidang media Majlis Anugerah Konvesyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Sambutan Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2014 itu di sini semalam.

Menurut beliau lagi, sambutan minggu inovasi merupakan anjuran bersama  kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penjawat awam mengenai kepentingan kreativiti dan inovasi dalam perkhidmatan awam serta mengetengahkan dan mengiktiraf keberhasilan inovasi dalam  perkhidmatan awam.

“Ia juga dijadikan salah satu cara untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan inovasi yang diberikan kepada pelanggan atau rakyat.

“Minggu inovasi ini berperanan untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi melalui ceramah, seminar dan taklimat agar mutu kerja lebih berdaya saing. Pameran projek turut diadakan oleh kumpulan yang bertanding,” tambahnya kemudian.

Kata beliau, majlis yang dijadualkan berlangsung bermula 29 September sehingga 8 Oktober itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Adenan Satem pada 3 Oktober di Imperial Hotel.

Manakala Pelancaran Aplikasi Talikhidmat akan disempurnakan oleh beliau sendiri sementara Setiausaha Kerajaan Persekutuan Negeri Sarawak, Datuk Md Yahaya Basimin akan merasmikan majlis penangguhan pada 8 Oktober depan.

Bertemakan ‘Create & Innovate: Makes a Difference’, pengisian minggu inovasi adalah diskusi inovasi ‘Intelectual Property’, pameran hari bersama pelanggan, Innorace dan Seminar Inovasi.

Sementara itu, kumpulan KIK kategori teknikal yang akan bertanding ialah AQUAPONIC 12 (Jabatan Pertanian Sarawak), BENAK 10 dari Jabatan Kerja Raya (JKR-Sri Aman), BUKIT SADOK 1 (JKR-Betong), CREATIVE 8, (PUSAKA-Mukah), KILAT (Lembaga Air Kuching).

MEGA (BOMBA), NANAS MADU (JKR-Sarikei), Q-INNO (JKR-Bintulu) dan SOUTHERN THINKERS (MBKS).

Manakala, kategori pengurusan ialah ACCURATE (Jabatan Tanah dan Survei-Mukah), ASPIRASI UTARA (Jabatan Perbendaharaan Miri), D’RIGS (Majlis Bandaraya Miri), D’ZOOMER (SEDC), GS11 (Jabatan Kastam Pelabuhan Senari).

Turut menyertai INOVATIF G2 (Jabatan Tanah dan Survei-Bintulu), LAND TAHAO Q (Jabatan Tanah dan Survei Limbang), QECERS (Jabatan Pertanian Sarawak), R-TECH (IPG-Rajang), REVOLUSI (Pustaka Negeri Sarawak) dan SASSOKU 13 (Jabatan Tanah dan Survei-Kuching).