MBM lancar ‘Ops Patuh 9’ banteras penjaja haram

0

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) melancarkan ‘Ops Patuh 9’ membanteras aktiviti penjaja haram terutamanya di kawasan Kuala Baram dan pusat bandar.

Pengerusi Perkhidmatan Awam dan Penguasa KPI MBM, Kaunselor Julaihi Mohamad berkata, pasukan penguasa MBM telah ditubuh bagi melakukan penyiasatan dan memantau kegiatan penjaja haram.

“Kita akan melancarkan ‘Ops Patuh 9’ dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan polis bagi mencegah kegiatan peniaga haram khasnya kalangan warga asing,” katanya di sini semalam.

Julaihi berkata, ‘Ops Patuh 9’ berkenaan dilancarkan selepas pendedahan media berkenaan kegiatan penjaja haram kalangan warga asing semakin berleluasa.

“Kita sentiasa memberi keutamaan terhadap aduan-aduan penduduk Miri dan kita akan bertindak memerangi penjaja haram,” tegasnya.

Pada masa sama, penguat kuasa MBM akan diberi panduan dan pembahagian tugasan bersama pihak Imigresen dan polis dalam ‘Ops Patuh 9’ nanti.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu MBM boleh menyediakan tempat dan peluang untuk penjaja beroperasi secara sah dan aman.

“MBM mempunyai tapak terhad namun kita boleh bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk memohon tanah kerajaan negeri bagi menempatkan penjaja-penjaja baharu,” jelasnya.

Julaihi berkata, MBM mengambil pelbagai jalan bagi membantu penjaja haram termasuk menempatkan mereka ke lokasi yang sesuai.

Sebagai contoh di tapak berhampiran pasar raya DPS Senadin, pusat komersil Centrepoint Miri, Morsjaya dan hadapan Balai Polis Lutong.

Sementara itu, MBM akan menjalankan operasi berhampiran Masjid Permyjaya memandangkan penjaja di kawasan itu telah pun diarahkan berpindah.

“Jika mereka masih berdegil dan enggan berniaga di tapak yang disediakan maka kita akan mengambil tindakan tegas serta-merta,” katanya.